Ambank Research: IHP mungkin berubah positif tahun ini
KUALA LUMPUR,. Indeks Harga Pengeluar (IHP) boleh berubah menjadi positif tahun ini dengan purata penuh tahun berlegar antara 0.3 peratus kepada 0.5 peratus, kata AmBank Research.
IHP, yang menyaksikan pertumbuhan purata tahun penuh sebanyak -1.3 peratus pada tahun sebelumnya, mungkin akan kekal sederhana ke hadapan, katanya dalam satu nota hari ini.
“Walaupun asas yang rendah akan mempengaruhi data-data kemasukan yang berpotensi, beberapa tekanan ke atas juga akan terlihat berikutan kos input yang lebih tinggi,” kata firma penyelidikan itu.
Kadar inflasi pembuatan bagi Disember naik untuk bulan kedua berturut-turut, melonjak kepada paras tertinggi dalam tempoh 25 bulan sebanyak 3.5 peratus dari tahun ke tahun berbanding 1.2 peratus dari tahun ke tahun yang direkodkan pada November.
“Secara asas bulanan, ia menokok 0.8 peratus dari bulan ke bulan daripada 1.3 peratus pada November. Hasil daripada pertumbuhan positif selama dua bulan berturut-turut, ia mengurangkan kesan bagi pertumbuhan purata tahun penuh yang menyusut sebanyak 1.3 peratus pada 2019 daripada -1.1 peratus tahun ke tahun yang dicatatkan semasa 2018,” katanya.
Firma penyelidikan itu menyatakan bahawa peningkatan yang kukuh dalam PPI adalah disebabkan oleh pertanian, perhutanan dan perikanan (naik sebanyak 21.9 peratus dari tahun ke tahun daripada 19.9 peratus dari tahun ke tahun yang direkodkan pada bulan November).
Perlombongan (menokok 19.3 peratus dari tahun ke tahun berbanding 6.4 peratus dari tahun ke tahun pada November) dan pembuatan (pertumbuhan dari tahun ke tahun sebanyak 0.5 peratus untuk kali pertama sejak Disember 2017) juga menyumbang kepada peningkatan dalam IHP.
Jabatan Perangkaan Malaysia semalam mengumumkan IHP untuk pengeluaran domestik, yang bertambah sebanyak 3.5 peratus pada Disember 2019 kepada 107.4 daripada 103.8 setahun sebelumnya, telah didorong oleh peningkatan dalam hampir semua indeks kecuali bekalan air.
Ia merupakan pertumbuhan tertinggi sejak November 2017, menurut jabatan itu.
— BERNAMA