Ambil peluang tambah baik ekonomi keluarga daripada inisiatif kerajaan: Ismail Sabri

Ambil peluang tambah baik ekonomi keluarga daripada inisiatif kerajaan: Ismail Sabri

BERA,. Kesan daripada penularan COVID-19 bukan alasan untuk Keluarga Malaysia khususnya kumpulan B40 mengalah, sebaliknya wajar mengambil peluang untuk menambah baik ekonomi keluarga menerusi pelbagai inisiatif yang disediakan kerajaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia juga sentiasa mengambil langkah memastikan kebajikan pekerja dan majikan termasuk dalam ekonomi baharu seperti gig (sementara).

Sebagai contoh, kata beliau, pada 2020 hanya segelintir pekerja gig dilindungi, kini lebih 260,000 orang mendapat perlindungan menerusi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) ditambah dengan bantuan kerajaan yang turut menyumbang kepada caruman mereka.

“RMK12 (Rancangan Malaysia Ke-12) turut memberi tumpuan khas kepada pengembangan ekonomi gig (ekonomi jangka pendek) sebagai salah satu dimensi ekonomi baharu yang perlu diberi perhatian.

“Di bawah Sistem Insurans Pekerjaan ditawarkan Perkeso, seramai 188,526 Keluarga Malaysia telah menerima manfaat faedah kewangan berjumlah RM1 bilion bagi membantu mereka yang terkesan meneruskan kehidupan harian,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata demikian dalam ucapan perasmian Karnival Anak Muda Gegor Bera di Dewan Konvensyen Bera di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ti Lian Ker, Pengerusi Lembaga Perkeso Datuk Seri Subahan Kamal dan Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Ismail Sabri berkata program PENJANA HRD Corp pula berjaya memberikan latihan semula kepada hampir 100,000 Keluarga Malaysia daripada pelbagai latar belakang, dengan peruntukan RM500 juta sepanjang 2020 hingga 2021.

Selain itu, beliau berkata impak positif daripada program JaminKerja-Insentif Penggajian yang dilaksanakan oleh Perkeso juga diteruskan dalam Bajet 2023.

“Berdasarkan statistik Perkeso, sehingga 28 Okt lepas jumlah permohonan JaminKerja yang diterima adalah 65,774 pekerja dengan penglibatan 8,513 majikan.

“Kajian tahap penerimaan rakyat terhadap kerajaan dan dasar Keluarga Malaysia yang dilaksanakan Ilham Centre baru-baru ini, mendapati 82.5 peratus rakyat mahu program JaminKerja diteruskan di masa hadapan,” kata beliau.

Mengenai karnival itu, Ismail Sabri berkata program tersebut boleh dijadikan acara tahunan dan menjadi platform kepada belia khususnya di Bera, untuk meneroka peluang pekerjaan dan meningkatkan sosioekonomi mereka.

Selain itu, penganjuran karnival yang antara lain melibatkan acara e-sukan, juga selari dengan usaha kerajaan yang komited membangunkan pembangunan sukan tersebut menerusi peruntukan RM13 juta dalam Bajet 2023.

Karnival yang berlangsung selama sehari itu antara lain menawarkan pelbagai pengisian khusus untuk anak muda seperti pertandingan e-sukan menerusi Santai Esports dan program JaminKerja yang menawarkan lebih 1,500 peluang pekerjaan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This