Anak Sarawak hidang 15 jenis kek lapis di rumah terbuka Aidilfitri di Bangkok

Anak Sarawak hidang 15 jenis kek lapis di rumah terbuka Aidilfitri di Bangkok

BANGKOK,. Berada jauh dari kampung halaman, Noor Baizura Mohamad Mokhtar mahu cipta kelainan pada Rumah Terbuka Aidilfitrinya kali ini dengan menyajikan 15 jenis Kek Lapis Sarawak pelbagai perisa kepada tetamu yang hadir.

Hidangan rumah terbuka Aidilfitri anak kelahiran Sarawak itu pada Selasa untuk meraikan rakan taulan yang berada di Bangkok seolah-olah satu pameran kek terdiri daripada kek berwarna-warni dengan pelbagai corak dan perisa.

Bersempena sambutan Rumah Terbuka Aidilfitrinya dan juga Gawai yang disambut masyarakat Dayak di Sarawak esok, suri rumah yang berusia 40 tahun itu telah menyiapkan 15 jenis kek lapis termasuk Kek Lapis Masam Manis, Kek Lapis Idola, Kek Lapis Tun Fatimah, Kek Lapis Forget Me Not, Kek Lapis Unicorn dan Kek Lapis Durian Hipster dalam masa hampir dua minggu.

Beliau berkata Kek Lapis Sarawak sinonim dengan Bumi Kenyalang ia merupakan menu wajib yang disajikan sempena Rumah Terbuka Aidilfitri dan Gawai Dayak di Sarawak.

“Saya ingin memperkenalkan budaya Sarawak melalui Kek Lapis Sarawak di Bangkok, supaya rakyat Malaysia dan Thailand mengenali menu popular dari Bumi Kenyalang,” katanya kepada Bernama di sini pada Selasa.

Noor Baizura berkata beliau mengambil masa hampir dua minggu untuk menyiapkan 15 jenis Kek Lapis Sarawak ini.

“Proses menyediakan sebiji kek lapis mengambil masa antara tiga hingga enam jam termasuk masa mengadun dan membakar.

“Setiap jenis kek lapis mempunyai cara-cara pembuatan yang berbeza selain perlu menampilkan kreativiti dan ketelitian bagi menjamin rasa dan kualiti kek.

“Contoh, Kek Lapis Unicorn mengambil masa hampir lima jam termasuk mengadun dan membakar,” katanya yang turut mengikuti kelas pembuatan kek lapis dalam talian kerana mahu mencuba pelbagai resipi.

Noor Baizura berkata kos pembuatan Kek Lapis Sarawak di Thailand adalah dua kali ganda berbanding di Malaysia kerana kos bahan yang digunakan lebih tinggi harganya di sini.

“Demi menjaga kualiti dan rasa kek lapis, saya menggunakan bahan yang bermutu tinggi. Kebanyakan bahan-bahan yang digunakan adalah dibawa masuk dari Malaysia ke Thailand,” katanya.

Walaupun tidak dapat pulang ke Sarawak sempena Hari Raya Aidilfitri dan Gawai tahun ini, Noor Baizura berkata budaya ‘ngabang’ iaitu amalan kunjung mengunjung antara anggota keluarga terdekat dan rakan taulan turut diteruskan di sini.

Selain menyajikan Kek Lapis Sarawak, beliau turut menyajikan hidangan tradisional seperti, sate, lemang, nasi impit, roti jala, laksa utara, rendang ayam dan nasi daging.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This