ANM terajui inisiatif rekod digital kerajaan, 500 agensi guna DDMS 2.0 menjelang 2025

ANM terajui inisiatif rekod digital kerajaan, 500 agensi guna DDMS 2.0 menjelang 2025

PUTRAJAYA,. Arkib Negara Malaysia (ANM) sebuah agensi di bawah Kementerian Perpaduan Negara menerajui inisiatif rekod digital kerajaan melalui Digital Document Management System (DDMS) 2.0.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata DDMS 2.0 ialah sistem termaju yang menetapkan penanda aras baharu untuk konsistensi, kebolehpercayaan dan ketelusan dalam pengurusan rekod kerajaan.

“Sistem itu kini digunakan oleh 370 agensi kerajaan dan bakal diperluas ke 500 agensi menjelang 2025. DDMS 2.0 menempatkan 12.3 juta rekod dan memberi perkhidmatan kepada hampir 60,000 pengguna aktif (penjawat awam),” katanya selepas melancarkan “International Seminar on Digital Records and Legal Admissibility 2024” anjuran ANM di sini hari ini.

Beliau berkata pelaksanaan DDMS 2.0 mengubah keseluruhan proses pengurusan rekod kepada satu proses pengurusan rekod fizikal diurus secara berpusat sekali gus tidak memerlukan salinan yang berlebihan.

“Selain itu, DDMS 2.0 membantu meningkatkan komunikasi dengan membenarkan sebarang rekod digital diarahkan serta-merta dalam organisasi bersama-sama minit mesyuarat dan arahan kepada penerima masing-masing,” katanya.

Aaron berkata ANM berada di barisan hadapan dalam pemeliharaan penyimpanan pelbagai rekod sama ada rasmi atau peribadi dan secara berkesan beralih ke era digital.

Beliau berkata nilai arkib bukan sahaja penting dalam memelihara warisan budaya tetapi juga memastikan kesahihan rekod digital.

“Kira-kira 80 peratus daripada inisiatif arkib negara sepanjang dekad lepas menumpukan kepada pendigitalan dan pemeliharaan rekod elektronik, mencerminkan komitmen teguh kami untuk kekal di hadapan,” katanya.

Aaron berkata kementerian mengiktiraf peranan kritikal rekod digital dalam mempromosikan perpaduan melalui dokumentasi yang telus dan selamat.

Justeru itu, ANM proaktif dalam menerajui pengurusan rekod digital dan menyokong transformasi digital kerajaan melalui perkongsian berwawasan dengan Jabatan Digital Negara untuk membangunkan DDMS 2.0.

Beliau berkata dengan mewujudkan rangka kerja yang kukuh, DDMS 2.0 menawarkan model untuk sektor lain sekali gus memperkukuh ketelusan sebagai asas kepercayaan.

Pada 2012, ANM melalui perkongsian berwawasan dengan Jabatan Digital Negara yang sebelum ini dikenali Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Malaysia (MAMPU) untuk membangunkan DDMS 1.0 dan versi terkini DDMS 2.0.

DDMS 2.0 dipilih mengungguli Top 5 Champion di World Summit on the Information Society (WSIS) Forum 2020 di Geneva selepas memperoleh undian tertinggi di bawah Category C6 – Enabling Environment.

Aaron berkata tanggungjawab untuk rekod digital bukan sekadar digalas ANM semata-mata dan menggesa inovator teknologi serta profesional undang-undang memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan penyimpanan rekod digital.

Beliau berkata ahli teknologi mesti membangunkan platform teguh, selamat dan mesra pengguna yang mampu mengekalkan rekod digital bagi tempoh masa yang tidak terbatas.

ANM ditubuhkan pada 1957 sebagai agensi bagi repositori data, maklumat dan rekod kerajaan selain bertanggungjawab mengumpul, memelihara dan menyediakan rekod awam dalam pelbagai jenis serta bentuk sebagai rujukan penyelidik dan orang ramai.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This