Anwar setuju tindakan polis tahan individu dikaitkan dengan keganasan
BUKIT MERTAJAM,. Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bersetuju dengan tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan beberapa individu yang disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) baru-baru ini.
Walau bagaimanapun, beliau berkata penahanan berkenaan tidak seharusnya dibuat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan, Langkah-Langkah Khas 2012 (SOSMA) yang disifatkannya sebagai terlalu keras.
“Kami telah menentang akta ini sejak awal namun sebenarnya jika ia berkaitan dengan keganasan saya menyokong tindakan polis, ia tidak terhad kepada tindakan terhadap LTTE tetapi semua yang membabitkan keganasan.
“Ini yang orang bangkitkan sekarang terhadap PKR (mengapa PKR tidak bantah guna SOSMA), mana-mana negara sudah pasti akan mengekang isu berkaitan keganasan dan kita juga patut serahkan kepada PDRM untuk mengambil tindakan bagi menangani isu itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvesyen PKR Pulau Pinang di sini, hari ini.
Turut hadir Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR, Muhammad Bakhtiar Wan Chik.
Anwar berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kenyataan beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang membantah polis menggunakan SOSMA dalam penahanan 12 individu termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari DAP kerana disyaki mempromosi, menyokong, menghasut, menggalak, mencari dana dan memiliki item berkaitan LTTE.
Kesemua mereka ditahan dalam beberapa operasi khas berasingan yang dijalankan oleh Bahagian Antipengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman sejak Khamis lalu.
Mengulas lanjut, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, menafikan bahawa beberapa bekas ahli PKR turut ditahan berkaitan LTTE sejak minggu lepas.
“Saya tidak menerima sebarang laporan yang ada sekarang atau bekas ahli PKR yang terlibat atau ditangkap oleh E8 PDRM,” katanya ditanya mengenai khabar angin bahawa empat bekas anggota PKR adalah antara mereka yang ditahan dalam operasi berterusan oleh polis.
Dalam perkembangan lain, Anwar, yang juga Pengerusi Kaukus Reformasi dan Tadbir urus Parlimen, berkata Belanjawan 2020 kurang memberi fokus kepada industri pertanian sedangkan ia adalah antara industri penting bagi negara.
Menurutnya, industri pertanian juga memerlukan belanjawan khusus supaya ia dapat ditingkatkan kerana setiap tahun negara mengimport RM52 bilion hasil pertanian dari luar.