Anwar tiba di Hainan untuk sertai BFA 2023

Anwar tiba di Hainan untuk sertai BFA 2023

HAINAN,. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di sini semalam untuk menghadiri Forum Boao bagi Persidangan Tahunan Asia (BFA 2023) sebagai sebahagian daripada lawatan rasmi empat hari beliau ke China.

Pesawat khas yang membawa beliau mendarat di Lapangan Terbang antarabangsa Boao pada pukul 5.29 petang (waktu tempatan sama dengan waktu Malaysia).

Perdana Menteri diiringi oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook dan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming dalam lawatan ini.

Sebaik tiba, Anwar disambut oleh Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Naib Gabenor Hainan Chen Huaiyu, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Amran Mohamed Zin, Duta Besar Malaysia ke China Raja Datuk Nushirwan Zainal Abidin dan konsulat jeneral Malaysia ke Guangzhou Suraya Ahmad Pauzi.

Anwar dijadualkan menghadiri majlis Iftar bersama dengan kira-kira 70 anggota delegasi Malaysia yang mengambil bahagian dalam BFA 2023 di Hotel Boao Golden Coast sebelum menghadiri mesyuarat bersama dengan kepimpinan tertinggi syarikat China Communications Construction Company (CCCC).

Esok Perdana Menteri dijangka menghadiri mesyuarat dua hala dengan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong sebelum menyampaikan ucapan di BFA 2023.

Beliau dijangka berlepas ke Beijing pada sebelah petangnya untuk meneruskan lawatan.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This