APEC 2019 batal: Sekretariat hormati keputusan Chile

APEC 2019 batal: Sekretariat hormati keputusan Chile

KUALA LUMPUR,. Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) menghormati keputusan tuan rumah Sidang Kemuncak APEC 2019, Chile, yang membatalkan penganjurannya.

Pengarah Eksekutif Sekretariat APEC, Tan Sri Rebecca Fatima Sta Maria berkata, keselamatan dan kebajikan rakyat Chile serta anggota APEC menjadi keutamaan paling penting pada ketika ini.

“Presiden Sebastian Pinera, Pengerusi APEC Chile 2019, mengumumkan pertemuan Pemimpin APEC tidak akan diadakan di Chile tahun ini.

“Keselamatan dan kebajikan rakyat Chile serta anggota APEC menjadi keutamaan paling penting.

“Sekretariat APEC menghormati keputusan Chile membatalkan penganjuran pertemuan Pemimpin APEC,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

BACA: APEC 2019 dibatalkan, protes seluruh Chile memuncak

Beliau pada masa sama berterima kasih kepada Chile yang secara berterusan tanpa jemu menggalakkan pembangunan inklusif sepanjang kepengerusiannya.

“Ia termasuk mengutamakan pengukuhan ekonomi wanita dan perniagaan kecil.

“Kesemua anggota APEC akan terus memperjuangkan agenda ini dalam memastikan semua komuniti Asia Pasifik menikmati manfaat pembangunan dan integrasi ekonomi,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa Malaysia bakal menjadi tuan rumah bagi APEC 2020.

Terdahulu pada awal pagi Rabu waktu tempatan, pembatalan Sidang Kemuncak APEC Ke-27 yang dijadual berlangsung di Santiago, Chile, dimaklumkan dalam satu pengumuman khas di Pinera.

Acara itu sepatutnya diadakan pada 16 dan 17 Nov, 2019.

Pengumuman itu dibuat dalam ketegangan krisis politik dan protes besar-besaran yang berlaku di beberapa bandar raya utama negara itu.

CATEGORIES
TAGS
Share This