APMM Sabah tumpas cubaan seludup keluar minyak masak bersubsidi

APMM Sabah tumpas cubaan seludup keluar minyak masak bersubsidi

SEMPORNA,. Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup keluar 646 peket minyak masak bersubsidi 1 kilogram bernilai RM1,615 ke negara jiran melalui perairan Semporna di sini, awal pagi tadi.

Pengarah APMM Zon Maritim Semporna Komander Maritim Norrimi Hassan berkata rampasan pada 2.10 pagi itu dilakukan selepas mengesan sebuah bot bergerak dalam keadaan mencurigakan di lokasi 0.7 batu nautika barat daya Kampung Labuan Haji.

“Sebaik menyedari kehadiran bot penguat kuasa, suspek bertindak mengemudi bot ke kawasan lebih cetek dan terjun melarikan diri ke daratan berhampiran, meninggalkan bot membawa muatan 646 peket minyak masak,” katanya dalam kenyataan di sini malam tadi.

Beliau berkata siasatan lanjut akan dilakukan bagi mengesan pemilik bot serta dalang di sebalik penyeludupan itu.

Norrimi berkata Zon Maritim Semporna memperhebatkan rondaan dan penguatkuasaan di sekitar kawasan panas terutama sekitar sempadan perairan negara bagi membanteras aktiviti penyeludupan termasuk pendatang haram.

Sehubungan itu, katanya orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan atau jenayah maritim diminta agar menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Semporna di talian 089-782619 atau MERS 999.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This