APMM selamatkan 15 rakyat Filipina selepas kapal dinaiki hanyut ke perairan Malaysia

APMM selamatkan 15 rakyat Filipina selepas kapal dinaiki hanyut ke perairan Malaysia

SANDAKAN,. Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Sandakan menyelamatkan sekumpulan 15 rakyat Filipina, kebanyakannya kakitangan pengajar Kolej Politeknik Tawi-Tawi yang hanyut ke perairan Malaysia, Sabtu lepas.

Timbalan Pengarah Operasi APMM Zon Sandakan Komander Ahmad Firdaus Shaari berkata pihaknya dimaklumkan oleh Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) terdapat sebuah kapal tenggelam di perairan berhampiran Kinabatangan.

“Mereka (mangsa) sedang dalam pelayaran dari Pulau Bongao ke Pulau Taganak di Filipina (sejauh 199km) untuk melaksanakan sebuah program apabila enjin kapal mereka menghadapi masalah dan tidak dapat dibaiki.

“Kapal itu kemudian hanyut ke dalam perairan kita (Malaysia) dan ombak kuat menolak mereka sehingga terdampar di pantai sebuah pulau di Kinabatangan dan mereka menyedari kapal mereka beransur-ansur tenggelam,” katanya kepada pemberita sebelum menghantar mangsa-mangsa kapal karam itu ke sempadan perairan Malaysia-Filipina, dengan Tentera Laut Filipina menanti ketibaan mereka, semalam.

Tujuh pensyarah dan lapan krew bot kumpit MV Dayang Jubaira yang dalam perjalanan dari Pulau Bongau ke Pulau Taganak, Filipina diselamatkan APMM selepas mengalami kerosakan enjin dan hanyut sebelum terdampar di pantai Kinabatangan pada 8 Jan lalu. –fotoBERNAMA

Ahmad Firdaus berkata kesemua mangsa terdiri daripada 13 lelaki dan dua wanita dibawa ke Sandakan untuk menjalani saringan COVID-19 dan kesemua mereka didapati bebas jangkitan virus itu dan disediakan penginapan serta makanan selain daripada keperluan lain sementara urusan penghantaran mereka pulang ke Filipina diatur.

Beliau berkata kira-kira 40 staf APMM mengiringi mangsa dengan tiga bot dan sebuah kapal ke sempadan.

Seorang daripada penumpang kapal Filipina itu, Karnahar Mayan, 41, berkata dia dan rakan-rakannya sedang dalam pelayaran untuk menjalankan penilaian latihan di Pulau Taganak apabila kapal mereka rosak di tengah laut.
“Kami berlepas dari Pulau Bongau pada pagi 6 Jan, kemudian sekitar pukul 11.30 pagi kapal itu rosak dan kami terkandas di laut.

“Kapten kapal itu dan mekanik cuba membaiki enjinnya tetapi sehingga keesokan paginya (7 Jan) apabila kami bangun tidur, kami masih lagi berada di laut,” katanya sambil menambah kira-kira pukul 6 petang (hari sama), ombak yang kuat menolak kapal itu ke pantai.

Karnahar berkata penumpang dan kru kapal itu naik ke dek atas kapal dan bernasib baik kerana ada orang menangkap ketam di pulau itu yang kemudian membekalkan mereka dengan makanan dan memaklumkan keadaan mereka kepada pihak berkuasa.

Dia berkata mereka diselamatkan kira-kira 2 petang keesokan harinya (Sabtu, 8 Jan) dan menzahirkan rasa terima kasih mereka kepada pihak berkuasa Malaysia, terutamanya APMM di atas layanan baik mereka sepanjang mereka berada di Sandakan sementara menanti untuk dihantar pulang.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This