Apple lancar iPhone 12 di Korea Selatan 30 Oktober

SEOUL,. Apple Inc. akan melancarkan telefon pintar baharunya, iPhone 12, di Korea Selatan akhir bulan ini, bertujuan menarik lebih ramai pengguna di negara ini menerusi telefon bimbit pertamanya yang dilengkapi 5G, lapor agensi berita Yonhap.

Syarikat teknologi Amerika Syarikat (AS) itu pada Selasa (waktu tempatan) melancarkan empat model siri iPhone 12 – iPhone 12 Mini (5.4 inci), iPhone 12 (6.1 inci), iPhone 12 Pro (6.1 inci) dan iPhone 12 Pro Max (6.7 inci).

Apple berkata iPhone 12 dan iPhone 12 Pro akan mula dijual di Korea Selatan pada 30 Oktober, seminggu selepas syarikat melancarkan produk itu di negara terpilih termasuk AS, Britain, Jerman, China dan Jepun.

Tarikh pelancaran iPhone 12 Mini dan iPhone 12 Pro Max di Korea Selatan belum ditetapkan, tetapi dijangka pada akhir November. Di negara lain, kedua-dua model itu akan berada di pasaran di negara terpilih pada 13 November.

Model iPhone 12 dijual dengan harga bermula 1.09 juta won (US$950) dan iPhone 12 Mini bermula dari 950.000 won. Harga permulaan untuk iPhone 12 Pro dan iPhone 12 Pro Max masing-masing ditetapkan 1.35 juta won dan 1.49 juta won.

Apple berharap siri iPhone 12 berupaya menarik pengguna 5G di Korea Selatan, negara pertama di dunia yang mengkomersialkan perkhidmatan rangkaian 5G. Sehingga Ogos, Korea Selatan mempunyai 8.7 juta pengguna 5G.

Jenama telefon pintar kedua terbesar di Korea Selatan itu memiliki 19 peratus pasaran pada suku kedua, masih ketinggalan jauh di belakang Samsung yang menguasai 67 peratus keseluruhan pasaran.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )