ASEAN tekad juarai langkah pastikan keselamatan, kestabilan Laut China Selatan

ASEAN tekad juarai langkah pastikan keselamatan, kestabilan Laut China Selatan

KUALA LUMPUR, 12 Sept — ASEAN tekad untuk terus menjuarai langkah memastikan Laut China Selatan kekal sebagai laut yang selamat, stabil dan menjadi laluan perdagangan utama, mengikut acuan sendiri, kata Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada Forum Serantau ASEAN (ARF) ke-27 pada Sabtu.

Berucap menerusi sidang video dari Putrajaya, beliau menggariskan kepentingan laut itu tidak seharusnya menjadi kancah pertikaian, ketika Negara Anggota ASEAN kini terbabit dalam konflik yang mereka sebenarnya tidak berpihak kepada mana-mana kuasa.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, cabaran di sini adalah kepemimpinan – adalah kita yang memimpin atau kita sekadar pengikut – Asia Tenggara berhasrat untuk kekal menentukan hala tujunya sendiri dengan matlamat dan tujuan tunggal iaitu memastikan keamanan dan kestabilan di rantau kita.

“Saya meminta pihak-pihak terlibat mempertimbangkan hal ini dengan serius ketika kita sedang bergerak ke maju ke depan kerana kestabilan wilayah amat penting pada masa yang sukar ini,” katanya.

Beliau turut mengulangi pertikaian wilayah dan maritim harus diselesaikan oleh pihak berkaitan secara damai, sesuai dengan prinsip undang-undang antarabangsa yang diterima pakai, termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut Antarabangsa (UNCLOS) 1982.

Beliau berkata, Malaysia juga menantikan rundingan mengenai Kod Tatalaku (CoC) di Laut China Selatan dimulakan semula.

“Semua pihak harus memastikan kebebasan pelayaran dan lintas udara di Laut China Selatan, walaupun terdapat perbezaan pendapat, kita harus menghindarinya terutama pada ketika kerajaan negara kita menumpukan usaha untuk memerangi pandemik global.

“Namun, kita harus fokus untuk menghindari insiden tidak disengajakan di kawasan itu. Apa yang kita dengar daripada mesyuarat tiga hari lalu – kehadiran kapal dan kapal perang di Laut China Selatan berpotensi meningkatkan ketegangan di rantau kita dan bukan ini yang dimahukan,” tambahnya.

Mengulas mengenai isu Rakhine, Hishammuddian berkata Malaysia sekali lagi menekankan perlunya pembahagian tanggungjawab sama rata, dan menyeru negara-negara penandatangan Konvensyen 1951 komited terhadap kewajiban undang-undang antarabangsa mereka untuk menerima lebih ramai pelarian.

Katanya, Malaysia tidak lagi berupaya untuk menerima lebih ramai pelarian Rohingya kerana sumber daya dan kemampuan yang terhad, ditambah lagi dengan pandemik COVID-19.

“Malaysia amat menyokong proses pemulangan secara sukarela, aman dan bermaruah, pelarian dari Rakhine, dan merayu kepada Myanmar dan Bangladesh untuk segera mencari penyelesaian untuk masalah ini.

“Jika ini tidak ditangani segera, pelarian Rohingya akan terus dieksploitasi, menjadi korban pemerdagangan manusia dan kumpulan pengganas,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Hishammuddin juga menekankan pentingnya komunikasi telus, jaringan yang baik, dan kerjasama perisikan lebih kukuh di peringkat tempatan serta antarabangsa untuk memerangi keganasan.

Ujarnya, strategi komunikasi yang berkesan dalam apa jua bentuk saluran yang ada mesti diutamakan untuk memastikan maklumat salah dapat ditangani, tanpa melanggar undang-undang domestik masing-masing.

“Walaupun kumpulan pengganas kelihatan agak senyap selama COVID-19 melanda, kita tidak boleh mengenepikan fakta yang kumpulan ini boleh meningkatkan aktiviti dengan mengambil kesempatan dalam suasana sekarang yang tidak menentu,” katanya.

Ketika menegaskan kembali pentingnya Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) sebagai instrumen pelucutan dan pengawalan senjata di rantau ASEAN, menurut Hishammuddin Malaysia menyambut baik kesediaan Negara Senjata Nuklear untuk meneruskan rundingan mengenai Protokol SEANWFZ.

“Kita tetap komited untuk membincangkan cara untuk merapatkan jurang ini,” katanya.

ARF ke-27 dihadiri menteri-menteri luar 10 negara anggota ASEAN dan menteri luar Rakan Dialog ASEAN terdiri AS, Rusia, Kesatuan Eropah, China, India, Kanada, Australia, New Zealand, Jepun dan Korea Selatan. Ia juga disertai Menteri Luar Bangladesh, Korea Utara, Mongolia, Pakistan, Sri Lanka, Timor-Leste dan Papua New Guinea.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This