ASEM ulangi komitmen kerjasama percepat pemulihan ekonomi pasca-COVID-19

ASEM ulangi komitmen kerjasama percepat pemulihan ekonomi pasca-COVID-19

KUALA LUMPUR,. Rakan kongsi Mesyuarat Asia-Eropah (ASEM) mengulangi komitmen untuk bekerjasama serta berkongsi pengalaman, amalan terbaik dan maklumat mengenai COVID-19 serta mempercepat pemulihan sosioekonomi pasca wabak.

Dalam satu kenyataan bersama dikeluarkan pada Isnin, menteri luar rakan kongsi ASEM berkata perkara itu mesti dilakukan sambil mengurangkan kesan buruknya kepada masyarakat dan ekonomi, pada masa sama memenuhi keperluan khusus golongan berisiko, memelihara kesejahteraan, privasi dan keselamatan semua di samping mengekalkan kestabilan sosioekonomi.

“Menyedari maklumat yang terbatas membawa kepada kesan buruk, kami menegaskan akses kepada ketelusan maklumat, terkini, boleh dipercayai dan berdasarkan fakta, sangat penting untuk tindak balas global yang berkesan terhadap pandemik.

“Selain itu penting berkongsi maklumat mengenai potensi risiko kesihatan global termasuk perkongsian maklumat kesihatan awam melalui rangkaian Peraturan Kesihatan Antarabangsa (IHR), dan strategi kesihatan yang berkaitan dengan COVID-19,” memetik kenyataan yang diterbitkan di laman web ‘External Action’ Kesatuan Eropah (EU).

Memerangi pandemik COVID-19 memerlukan kerjasama bersepadu di peringkat antarabangsa, tindakan efektif oleh pertubuhan multilateral dan sokongan terhadap multilateralisme oleh rakan ASEM, berdasarkan prinsip dan nilai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Kenyataan itu juga menggesa perkongsian antara negara maju dan membangun, bersama dengan institusi kewangan global, bagi mewujudkan ketahanan melalui sokongan ekonomi domestik dan antarabangsa, sebagaimana yang termaktub dalam SDG 17 untuk memastikan matlamat pembangunan yang mapan tercapai.

“Kami menyokong seruan PBB mengenai tanggungjawab bersama, solidariti global dan memperkukuhkan kerjasama multilateral sebagai tindak balas terhadap kesan COVID-19 berbilang dimensi, terutama kepentingan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam menyelaraskan tindak balas kesihatan.

“Kami bertekad untuk terus bekerja sama rapat dengan semua organisasi dan institusi kewangan antarabangsa serta serantau yang relevan ke arah meningkatkan ketahanan dan persediaan menghadapi pandemik,” tambah kenyataan itu.

“Kami juga akan terus bekerja sama untuk mengekalkan dan memudahkan perdagangan antarabangsa termasuk melalui WTO, dan memastikan lalu lintas antarabangsa dan infrastruktur pengangkutan yang kritikal, seperti udara dan pelabuhan, tetap beroperasi dan aliran barangan berterusan sambil memastikan kesihatan dan keselamatan awam.”

Selain itu, menteri luar ASEM juga menyokong sepenuhnya pelaksanaan mekanisme multilateral sedia ada bagi mempercepat pembangunan, akses diagnostik, vaksin dan rawatan yang adil serta universal, termasuk Akses ke Alat Pemacu COVID-19 (ACT), di samping memperkuat sistem kesihatan.

Kenyataan bersama itu juga menyeru kerajaan rakan kongsi ASEM melaksanakan rancangan tindakan nasional pandemik COVID-19, sesuai dengan konteks dan langkah-langkah komprehensif di seluruh sektor kerajaan bagi membendung COVID-19, dan memperkuat tindakan melibatkan penyertaan wanita dalam semua peringkat proses membuat keputusan, dan tiada siapa dibiarkan ketika usaha menangani wabak dilaksanakan.

ASEM terdiri 53 rakan kongsi, termasuk dua pertubuhan serantau iaitu Kesatuan Eropah dan Sekretariat ASEAN.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This