Atlet, jurulatih dan persatuan sukan Labuan terima elaun, insentif

Atlet, jurulatih dan persatuan sukan Labuan terima elaun, insentif

LABUAN,. Seramai 54 atlet dan 17 jurulatih yang bernaung di bawah Majlis Sukan Wilayah Persekutuan hari ini menerima bayaran elaun latihan bagi Oktober hingga Disember daripada Kementerian Wilayah Persekutuan membabitkan peruntukan RM70,000.

Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Dr Fary Akmal Osman berkata bantuan kewangan berjumlah RM40,000 turut disalurkan kepada 20 persatuan sukan bertujuan mengurangkan beban kewangan ditanggung susulan pandemik COVID-19.

“Majlis Sukan Wilayah Persekutuan turut menyalurkan bantuan RM26,000 kepada persatuan sukan untuk tujuan program pencarian bakat baharu,” katanya pada majlis penyerahan bantuan itu di Wisma Perbadanan Labuan di sini hari ini.

Fary yang juga Pengerusi Majlis Sukan Labuan berkata elaun latihan, bantuan kewangan COVID-19 dan insentif pencarian bakat adalah sebahagian daripada usaha kerajaan dalam menjaga kebajikan atlet, jurulatih serta persatuan sukan.

“Kami memahami keadaan jurulatih dan pengurusan persatuan dalam menyediakan alatan dan kelengkapan keselamatan seperti cecair pembasmi kuman dan pelitup muka kepada atlet yang menjalani latihan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )