ATM tidak tetapkan kuota kaum dalam pengambilan anggota – Mohamad
KUALA LUMPUR,. Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak pernah menetapkan kuota kaum bagi pengambilan anggota ATM, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau berkata pengambilan dibuat dua kali dalam setahun melibatkan pengambilan dengan jumlah 6,000 hingga 7,000 anggota.
“Kami tidak mengenakan kuota mengikut kaum. Peratusan penyertaan mereka (bukan bumiputera) amat rendah dalam ATM.
“Mereka nampak ada kerja lain seperti berniaga yang memberikan dan menjanjikan pulangan yang lumayan…jadi ia bukan disebabkan tidak ada pelan persaraan,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri 2023 di Wisma Pertahanan, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu peratusan rendah golongan bukan bumiputera yang menyertai ATM.
Mohamad berkata ATM mempunyai banyak perancangan bagi mempersiap anggotanya untuk persaraan, antaranya pelbagai kursus peralihan yang dianjurkan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera.
Selain itu, katanya, pelbagai perancangan dibuat untuk menarik golongan bukan bumiputera menyertai ATM antaranya membuka permohonan secara dalam talian dan mengadakan jerayawara di seluruh negara.
“Nampaknya ia amat tidak menggalakkan dan masih rendah. Oleh itu, kami tidak mahu perkara ini berterusan dan berharap kerjaya sebagai anggota tentera akan lebih menarik minat semua kaum,” katanya.
Mengulas mengenai isu pembelian meriam mudah gerak (SPH) 155mm, Mohamad berkata walaupun proses perolehan aset itu dibatalkan tetapi senjata berkenaan tetap akan dibeli menerusi tender terbuka.
“Meriam berkenaan diperlukan tentera darat terutamanya Kor Artileri tetapi proses perolehannya kami batalkan kerana dia dulu melalui runding terus, jadi kami telah buat tender terbuka.
“Pembelian meriam berkenaan selepas ini akan dibuat dengan memastikan ia benar-benar mengikut spesifikasi diperlukan ATM,” katanya.
Perolehan SPH merupakan sebahagian daripada rancangan ATM untuk mempertingkat ketumbukan Tentera Darat Malaysia.
Terdahulu, Mohamad menyampaikan 15,000 bungkusan Hari Raya Aidilfitri kepada anggota tentera yang bertugas di perbatasan dan perairan negara yang akan diedarkan sebelum perayaan itu.
“Sumbangan ini adalah untuk warga ATM yang bertugas semasa hari raya dan yang tidak bersama keluarga tercinta semasa sambutan berkenaan,” katanya.
Turut hadir Panglima ATM Jen Tan Sri Affendi Buang, Panglima Tentera Udara Jen Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan dan Panglima Tentera Laut Laksamana Datuk Abdul Rahman Ayob.
— Bernama