Australia akan tubuh institut perkukuh penyelidikan pencegahan pandemik masa depan

Australia akan tubuh institut perkukuh penyelidikan pencegahan pandemik masa depan

SYDNEY,. Institut Penyakit Berjangkit Australia akan ditubuhkan di Melbourne, bandar kedua terbesar dan pusat penyelidikan dan pembuatan bioperubatan, lapor agensi berita Xinhua.

Menurut kenyataan akhbar dari negeri Victoria, institut ini, yang dirancang untuk menyediakan semua yang diperlukan oleh penyelidik untuk mengesan, menganalisis, mengurus dan merawat penyakit berjangkit, akan bekerjasama dengan institusi penyelidikan, universiti dan pengeluar yang ada di Victoria, dan akan memperkukuh keupayaan negeri dan negara secara keseluruhan dalam menangani pandemik masa depan.

Institut ini akan merangkumi makmal generasi berikutnya dan kemudahan rintangan tinggi yang akan membantu penyelidik meningkatkan pemahaman mengenai penyakit berjangkit, dengan kemudahan robot biobank yang akan memastikan amalan terbaik antarabangsa untuk penyimpanan spesimen dalam ujian klinikal berskala besar.

“Institut Penyakit Berjangkit Australia akan menyediakan segala keperluan yang membolehkan penyelidik perubatan Victoria bertaraf dunia membuat penemuan inovatif yang akan mengubah kehidupan dan menyelamatkan nyawa,” kata Menteri Inovasi, Penyelidikan Perubatan dan Ekonomi Digital Jaala Pulford.

Kerajaan negeri Victoria akan menyumbang 155 juta dolar Australia (kira-kira US$112.11 juta) untuk jumlah kos institusi ini iaitu sekitar 550 juta dolar Australia (sekitar US$397,8 juta). University of Melbourne dan rakan-rakannya akan menyumbang 150 juta dolar Australia (kira-kira US$108.49 juta) dan baki dana akan dimohon dari kerajaan persekutuan.

Setelah beroperasi, institut ini akan menyediakan sokongan besar-besaran untuk sektor bioperubatan dan dapat menyediakan hingga 5,000 pekerjaan, termasuk hingga 850 pekerjaan di institut itu sendiri, menurut kenyataan akhbar itu.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This