Axelsen sekat Zia Jia ke final Terbuka Indonesia
JAKARTA,. Cabaran Malaysia di kejohanan badminton Terbuka Indonesia 2022 berakhir di peringkat separuh akhir selepas jaguh perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia, tewas kepada pemain Denmark, Viktor Axelsen, di Stadium Istora Senayan,di sini, pada Sabtu.
Zii Jia, pemain ranking kelima dunia itu, memulakan saingan dengan langkah kanan apabila menjinakkan pemain ranking pertama dunia 21-19 sebelum gagal mengekalkan penguasaan apabila tewas 11-21 pada set kedua.
Pada set penentuan, Zii Jia mendahului saingan dengan baik pada peringkat awal sebelum Axelsen bangkit untuk mengesahkan tiket ke final dengan 23-21.
Bercakap kepada media selepas perlawanan, Zii Jia beliau mengakui agak sukar untuk mendapatkan kemenangan ke atas Axelsen tetapi telah berusaha yang terbaik.
“Saya dengan Axelsen telah berjumpa banyak kali. Kita pun lebih tahu permainan antara satu sama lain. Di set kedua fokus mulai menurun, mungkin banyak yang saya kena berlatih,” katanya yang kalah buat kali kelima daripada tujuh pertemuan antara mereka.
Mengenai persiapan untuk Terbuka Malaysia bermula 28 Jun, Zii Jia berkata beliau perlu menjaga kondisi dan mengelakkan kecederaan setelah mengharungi banyak kejohanan.
Cabaran negara dalam saingan beregu lelaki turut berakhir apabila Aaron Chia-Soh Wooi Yik tunduk 18-21, 13-21 kepada Liu Yu Cheng-Ou Xuan Yi dari China.
“Saya kecewa sebab banyak kesilapan. Ini selalu terjadi apabila kami sampai di peringkat separuh akhir atau akhir. Perlu lakukan sesuatu untuk perbaiki,” kata Aaron Chia.
Bagaimanapun, gandingan negara yang menduduki ranking ketujuh dunia bertekad untuk bangkit di Terbuka Malaysia nanti bagi memberikan kegembiraan kepada penyokong di tanah air.
— BERNAMA