Azam kembali kemudi jentera tengah Harimau Malaya

Azam kembali kemudi jentera tengah Harimau Malaya

PETALING JAYA,. Tonggak tengah skuad Harimau Malaya, Nor Azam Abdul Azih yakin untuk mempamerkan aksi terbaik dalam tiga perlawanan penting pada bulan ini.

Pemain tengah Pahang itu yang terlepas aksi persahabatan menentang Sri Lanka dan aksi Kumpulan G pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Vietnam pada bulan lalu kerana kecederaan buku lali kanan, percaya dirinya berada dalam tahap terbaik.

Berikutan itu, pemain berusia 24 tahun kelahiran Maran tersebut, menyatakan keyakinan untuk meraih kemenangan dalam kesemua tiga aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil, iaitu persahabatan menentang Tajikistan 9 Nov ini, sebelum kempen kelayakan menentang Thailand pada 14 Nov dan Indonesia pada 19 Nov ini.

“Saya dah bersedia untuk tiga perlawanan ini dan mahu beri yang terbaik. Saya juga dapat meningkatkan kecergasan selepas kecederaan,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Wisma FAM, di sini, hari ini.

Nor Azam juga berharap bahawa kehadiran dua pemain tengah, Baddrol Bakhtiar, 31, dan Afiq Fazail, 25, bersama-sama Syazwan Andik Ishak (pertahanan dan sayap) dan Farhan Roslan (penyerang), dapat membantu meningkatkan prestasi pasukan.

“Kita sekarang ada kombinasi pemain muda dan senior yang mantap. Kehadiran Baddrol dan Afiq dapat meningkatkan impak pada pasukan dan saya harap kita boleh raih enam mata penuh nanti,” katanya.

Sementara itu, pengendali ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe menjelaskan bahawa beliau terpaksa memanggil penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT) II, Muhammad Haziq Nadzli, 21, menggantikan penjaga gol Kedah, Ifwat Akmal Chek Kassim.

“Ifwat minta pelepasan daripada daripada panggilan kali ini, kerana ada sedikit masalah peribadi. Saya sebagai jurulatih, harus hormati keputusannya.

“Saya rasa pemilihan Haziq adalah tepat kerana beliau beraksi dengan baik sepanjang musim ini. Ini menjadi pendedahan yang terbaik buat beliau dan pemain-pemain bawah-23 tahun yang lain, menjelang persediaan ke Sukan SEA pada hujung bulan ini,” katanya.

Cheng Hoe juga enggan menyalahkan Ifwat sepenuhnya ke atas lapan gol yang dibolosi Kedah pada dua aksi separuh akhir menentang Pahang dan gol ketika kekalahan 3-0 kepada JDT pada final, Sabtu lalu.

Malaysia kini menduduki tangga keempat daripada lima pasukan dalam Kumpulan G kelayakan, dengan kutipan tiga mata selepas tiga perlawanan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This