Azis Saran Bank, KWSP, Syarikat Swasta Bantu Ringankan Beban Rakyat
KOTA KINABALU: Institusi kewangan dan syarikat swasta disaran memberi kelonggaran bayaran pinjaman dan sewaan kepada orang ramai serta para peniaga yang terjejas kerana tidak dapat bekerja atau berniaga sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.
Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd. Azis Jamman berkata, pendapatan golongan berkenaan sudah tentu terjejas kerana mematuhi arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa, namun mereka tetapi mempunyai tanggungjawab untuk menjelaskan bil-bili bulanan yang ditanggung.
Katanya, golongan peniaga kecil-kecilan adalah yang paling terjejas sehingga kemungkinan terpaksa gulung tikar jika tiada bantuan diberikan.
“Bagi pengusaha restoran contohnya, apabila arahan kawalan perjalanan dikuatkuasakan, pastinya mereka kehilangan pelanggan, pekerja juga terpaksa diarah untuk duduk di rumah, namun gaji masih berjalan atau dikurangkan, sewa kedai, pinjaman perniagaan bank perlu di bayar tidak termasuk komitmen lain seperti kereta rumah dan sebagainya.
“Akibatnya besar kebarangkalian pengusaha-pengusaha kecil ini akan gulung tikar jika keadaan ini berterusan, maka dengan itu, saya berharap agar kerajaan baik Persekutuan dan negeri perlu mengarahkan agar semua pihak termasuk bank-bank, syarikat-syarikat swasta, pemilik-pemilik premis perniagaan agar memberikan kelonggaran pembayaran atau pengurangan bagi menyelamatkan perniaga-peniaga kecil-kecilan, pengusahan restoran dan peruncitan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Mohd. Azis berkata, syarikat milik kerajaan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) juga boleh membenarkan para peniaga yang terjejas mengeluarkan sejumlah wang simpanan untuk disuntik ke dalam perniagaan selepas sahaja wabak koronavirus dapat diatasi.
Katanya, semua pihak perlu saling membantu sepanjang tempoh ini untuk memastikan kesannya tidak memberi impak besar kepada masyarakat sama ada semasa berdepan situasi genting atau selepas itu.
“Memahami langkah dan tindakan kerajaan memperkenalkan kawalan pergerakan kepada seluruh rakyat Malaysia untuk memerangi wabak koronavirus, rakyat sewajarnya menyokong langkah ini agar penularan Covid19 ini dapat dihentikan pada ketika seluruh kakitangan perubatan kita bertungkus lumus merawat mereka yang telah dikenal pasti positif terhadap virus ini selain yang disyaki telah dijangkiti.
“Memerangi wabak koronavirus ini adalah perjuangan umat sejagat tanpa mengenal warganegara, agama, bangsa apa lagi batasan politik, maka dengan itu semua pihak perlu berkerjasama agar perjuangan untuk memerangi wabak ini dapat dijayakan,” katanya.
sOURCE : detiksabah.