Azizulhasni terlepas emas acara keirin Asia
KUALA LUMPUR,. Pelumba elit negara, Mohd Azizulhasni Awang terlepas emas acara keirin pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2020 selepas tewas kepada pelumba Jepun, Yuta Wakimoto di Velodrom Pusat Latihan Kebangsaan Jingcheon, Korea Selatan, hari ini.
Pelumba berusia 31 tahun yang terkenal dengan jolokan ‘The Pocket Rocketman’ itu hanya berpuas hati dengan pingat perak selepas ketinggalan hanya 0.061 saat di belakang jaguh keirin Asia itu.
Seorang lagi wakil Jepun, Yudai Nitta merangkul pingat gangsa diikuti tempat keempat oleh pemenang pingat emas Sukan Asia 2018, Jai Angsuthasawit dari Thailand.
Terdahulu, Azizulhasni menempah slot ke final selepas menduduki tempat kedua pada pusingan kedua selepas mara dari pusingan repechage.
Seorang lagi pelumba negara, Muhammad Shah Firdaus Shahrom menduduki tempat keenam.
— BERNAMA