Badan Kehakiman anjur Persidangan Bersama Brunei-Malaysia-Singapura ke-7

Badan Kehakiman anjur Persidangan Bersama Brunei-Malaysia-Singapura ke-7

PUTRAJAYA,. Persidangan Kehakiman Bersama Brunei-Malaysia-Singapura ke-7 anjuran Badan Kehakiman Malaysia telah berlangsung di sebuah hotel di sini semalam.

Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia (PKPMP) dalam kenyataan hari ini berkata program itu menyaksikan para hakim dan pegawai-pegawai badan kehakiman dari negara ASEAN berkenaan terlibat dalam tiga sesi perbincangan yang ditampilkan.

Persidangan itu bermula ucapan perasmian oleh Ketua Hakim bagi ketiga-tiga negara, yang terdiri daripada Tun Tengku Maimun Tuan Mat (Malaysia), Steven Chong Wan Oon (Brunei Darussalam) dan Sunderesh Menon (Singapura).

Menurut kenyataan itu Tengku Maimun dalam ucapan perasmiannya menekankan aspek sinergi antara perkembangan berterusan di Wilayah ASEAN dan prinsip-prinsip yang ditetapkan dalam Wawasan Komuniti ASEAN 2025.

Beliau menekankan bahawa di seluruh rantau ASEAN, terdapat satu gerakan bersatu, yang bertujuan untuk meningkatkan hak bagi pihak yang dituduh.

Menurut PKPMP Tengku Maimun turut menyentuh soal evolusi yang berlaku dalam bidang keadilan jenayah, yang membuktikan peralihan daripada keadilan retributif tradisional ke arah model keadilan yang lebih inklusif dan bersifat pemulihan.

Sementara itu, Chong dalam ucapannya berkata tema Persidangan Kehakiman Bersama telah meletakkan perspektif salah satu prinsip Piagam ASEAN 2008, iaitu untuk “meningkatkan kesejahteraan dan kehidupan penduduk ASEAN dengan menyediakan akses yang saksama bagi mereka terhadap peluang untuk pembangunan manusia, kebajikan sosial, dan keadilan.

Menurut kenyataan itu, Menon pula dalam ucapannya berkata persidangan itu merupakan platform yang amat bernilai bagi badan kehakiman untuk saling bertukar pandangan, idea dan perspektif dalam isu-isu mustahak yang mempunyai kepentingan bersama.

Persidangan Kehakiman Bersama Brunei-Malaysia-Singapura Ke-7 ditubuhkan dengan tema, ‘Sistem Keadilan Jenayah di ASEAN: Melangkah Ke Arah Masyarakat yang Lebih Penyayang.”

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )