Badminton: Axelsen pilih Zii Jia sebagai lawan paling sukar

Badminton: Axelsen pilih Zii Jia sebagai lawan paling sukar

KUALA LUMPUR,. Sepanjang perjalanan menjadi juara dunia dan Olimpik, pemain nombor satu dunia, Viktor Axelsen memilih jaguh perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia sebagai lawan paling sukar sejak kebelakangan ini.

Bintang Denmark itu mendedahkan perkara tersebut selepas terpaksa bertarung berhabis-habisan selama 70 minit sebelum menyingkirkan Zii Jia 19-21, 21-11, 23-21 pada saingan separuh akhir Terbuka Indonesia di Stadium Istora Senayan, Jakarta, Sabtu lalu.

Pemain berusia 28 tahun itu mempertahankan kejuaraan Terbuka Indonesia dengan selesa selepas menundukkan pemain China, Zhao Jun Peng, 21-9, 21-10, dalam tempoh 38 minit.

Sebelum itu, Axelsen menjuarai Masters Indonesia 2022 dari 7 hingga 12 Jun lalu.

Memburu gelaran sulung Terbuka Malaysia 2022 minggu depan dan gelaran kedua Masters Malaysia selepas 2018, bulan depan, pemain itu menyifatkan Zii Jia sebagai berkebolehan membuktikan kemampuan beraksi pada tahap terbaik.

“Zii Jia merupakan lawan yang memberi cabaran paling getir di Indonesia. Semua orang tahu wakil Malaysia itu seorang pemain yang hebat. Dia juga seorang insan yang hebat di luar gelanggang…jadi seronok mempunyai ramai pemain handalan.

“Memang bagus mempunyai ramai pemain perseorangan yang kompetitif tetapi sudah pasti Zii Jia adalah pemain lawan yang hebat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (BAM) di Bukit Kiara, di sini, hari ini.

Terbuka Malaysia akan berlangsung di Arena Axiata Bukit Jalil di sini dari 28 Jun hingga 3 Julai manakala Masters Malaysia di venue sama mulai 5 hingga 10 Julai ini.

Juara dunia 2017 itu juga berkata beliau bersikap terbuka untuk berlatih dengan mana-mana pemain termasuk Zii Jia menjelang dua kejohanan di sini.

“Saya bercakap dengan Lakshya Sen dari India tentang berlatih bersama di sini kerana kami sangat mengenali antara satu sama lain.

Kemudian saya minta (pengarah kejurulatihan perseorangan Persatuan Badminton Malaysia) Wong Choong Hann jika saya boleh berlatih di sini, dia berkata kehadiran saya di sini amat dialu-alukan…jadi saya sangat bersyukur berada di sin,” katanya.

Axelsen menambah pada masa ini beliau memberi tumpuan kepada pemulihan fizikal dan mental daripada dua kejohanan di Indonesia sebelum bersedia sepenuhnya menjelang Terbuka dan Masters Malaysia.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )