Bahan baharu mungkin ganti silikon dalam cip – Kajian

Bahan baharu mungkin ganti silikon dalam cip – Kajian

TEL AVIV,. Penyelidik Israel dan rakan kongsi mereka mencipta bahan baharu yang boleh menggantikan silikon, menurut Institut Teknologi Israel dalam satu kenyataan pada Isnin, lapor Xinhua.

Bahan itu boleh digunakan untuk mencipta jenis transistor baharu untuk pembuatan cip menggantikan silikon, yang fungsinya terhad kerana dimensinya yang kecil.

Transistor yang memacu operasi cip dengan mengawal laluan arus elektrik telah dikurangkan saiznya selama bertahun-tahun kepada berpuluh-puluh atom, membolehkan satu cip mengandungi berbilion-bilion transistor.

Bagaimanapun baru-baru ini, trend pengecilan transistor silikon menjadi perlahan kerana penyelidik mendapati transistor pada saiz lebih kecil berkelakuan dengan cara yang boleh membahayakan operasi pemproses, menyebabkan masalah seperti kebocoran arus elektrik apabila mematikan transistor.

Pengecilan transistor silikon juga menyebabkan pembaziran tenaga seperti menghabiskan bateri telefon bimbit dengan cepat dan pemanasan peranti.

Menerusi kajian yang diterbitkan dalam jurnal Advanced Functional Materials, pasukan itu mengembangkan oksida dalam sistem makmal yang unik sementara mencapai kesan ke atas sifat pengaliran dan penebatnya untuk mencipta transistor yang cekap dan tepat.

Penyelidik kemudian mencapai kawalan ke atas jarak antara atom bahan baharu dengan ketepatan picometer, atau seperseribu nanometer manakala jarak antara dua atom dalam silikon, sebagai perbandingan, adalah kira-kira satu perempat nanometer.

Transistor masa depan akan dihidupkan dan dimatikan dengan cepat melalui kawalan tepat bahan dan struktur atomnya, menurut kesimpulan penyelidik.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This