Bajet 2022 bakal merangsang pembangunan Sabah dan Sarawak

Bajet 2022 bakal merangsang pembangunan Sabah dan Sarawak

KUCHING,. Ketika Sabah dan Sarawak menerima peruntukan perbelanjaan pembangunan masing-masing RM5.2 bilion dan RM4.6 bilion di bawah Bajet 2022, kedua-dua negeri ini dijangka akan menyaksikan projek pembangunan diteruskan pada tahun hadapan.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebelum ini memberitahu The Borneo Post bahawa peruntukan ini menyaksikan pertambahan berbanding bajet tahun lepas, dengan Sabah menerima RM104 juta lebih banyak sementara Sarawak menyaksikan pertambahan peruntukan sebanyak RM158 juta.

Apa yang pasti, jumlah keseluruhan peruntukan pembangunan untuk Sabah dan Sarawak untuk tahun hadapan ialah RM9.8 bilion atau lebih 20 peratus daripada jumlah keseluruhan peruntukan pembangunan untuk keseluruhan negeri.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, suntikan RM4.6 juta bilion di bawah Bajet 2022, sebagai tambahan kepada bajet negeri RM7 bilion, meningkatkan jumlah keseluruhan peruntukan untuk pembangunan kepada RM11.6 bilion.

Ini akan membolehkan Sarawak membelanjakan RM1 bilion sebulan untuk pembangunan dan membolehkan kerajaan mengorak langkah besar dalam mencapai aspirasi negeri untuk menjadi negeri maju berpendapatan tinggi dengan infrastruktur dan kesalinghubungan yang baik.

Ketua Menteri juga berterima kasih kepada kerajaan persekutuan kerana memperuntukkan RM4.6 bilion kepada Sarawak pada 2022 untuk meneruskan agenda pembangunannya, dengan berkata ia juga hasil daripada pendirian Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam menyokong sebuah kerajaan stabil, pertamanya di bawah bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhiyiddin Yassin dan penggantinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang peka terhadap keperluan negeri untuk pembangunan infrastruktur dan ekonomi.

Dan untuk Sabah, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menyifatkan Bajet 2022 sebagai sesuatu yang “inklusif, tidak meminggirkan sebarang sektor atau mana-mana pihak ketika negara berusaha untuk pulih daripada pandemik COVID-19.”

“Pertambahan peruntukan kepada RM5.2 bilion untuk kemudahan asas, infrastruktur, air dan elektrik dan juga pembangunan penjagaan kesihatan untuk Sabah adalah berita baik,” katanya sebagai respons kepada peruntukan Bajet 2022.

“Cadangan pengecualian cukai dan insentif untuk beberapa sektor dalam Bajet melengkapi agenda Hala Tuju Sabah Maju Jaya kerajaan. Kami melihat Bajet negara sebagai melengkapi Rancangan Malaysia Ke-12 dan kami mengalu-alukan cadangan peruntukan untuk Sabah tahun hadapan.”

Sabah juga menghargai keprihatinan berterusan Kerajaan Persekutuan kepada keperluan negeri dengan mencadangkan RM1.5 bilion untuk pembangunan infrastruktur luar bandar di Sabah dan Sarawak, tambahnya.

Hajiji berkata, Sabah juga mengalu-alukan jaminan bahawa projek infrastruktur bernilai RM3.5 bilion, antaranya Lebuhraya Pan Borneo, akan diteruskan pada tahun hadapan.

Keutamaan untuk pembangunan

Menurut Tengku Zafrul, keutamaan akan diberikan kepada jalan dan infrastruktur asas luar bandar, dengan RM2 bilion diperuntukkan untuk meneruskan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo.

“Peruntukan untuk pembangunan infrastruktur luar bandar, terutama jalan luar bandar, bekalan elektrik dan air luar bandar untuk Sabah dan Sarawak ialah RM1.5 bilion,” katanya semasa temu bual tersebut.

“Untuk memastikan persekitaran pembelajaran yang selesa dan selamat, sebanyak RM649 juta diperuntukkan untuk menaik taraf sekolah-sekolah usang dengan 112 projek di Sabah dan 165 di Sarawak.

“Terdapat juga peruntukan sebanyak RM24 juta di bawah program kesihatan kanak-kanak di mana kerajaan telah menubuhkan Bank Susu Ibu untuk bayi pramatang di unit Penjagaan Ibu Bersalin di negara ini termasuk di Sabah dan Sarawak.

“Faedah lain yang diperuntukkan kepada Sabah dan Sarawak di bawah Bajet 2022 termasuk subsidi sebanyak RM209 juta untuk perkhidmatan udara di Sabah dan Sarawak.”

Menteri Kewangan itu menambah kerajaan juga akan membantu merangsang pembangunan ekonomi di Sabah dan Sarawak dengan peruntukan khas RM20 juta untuk setiap negeri bagi projek-projek melibatkan keselamatan makanan, pelancongan serta pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.

Selain itu katanya, sejumlah RM284 juta akan diperuntukkan untuk melaksanakan projek pembangunan di bawah koridor pihak berkuasa Sabah dan Sarawak yang bertujuan untuk memacu pertumbuhan ekonomi menerusi projek-projek seperti infrastruktur taman industri Samalaju dan pembesaran Pelabuhan Sepanggar.

“Menerusi projek-projek dan peruntukan yang telah disediakan, kerajaan yakin untuk mencapai sasaran pertumbuhan keluaran kasar domestik untuk tempoh 2021 hingga 2025 iaitu 6.4 peratus bagi Sabah dan 5.3 peratus untuk Sarawak,” katanya.

Tengku Zafrul juga menjelaskan sektor pembuatan, pertanian dan pelancongan adalah antara sektor yang bakal mendapat faedah daripada peruntukan komunikasi, infrastruktur, subsidi pertanian dan juga dengan pembukaan sempadan dan pemulihan ekonomi.

CATEGORIES
TAGS
Share This