Bajet 2023: Kerajaan cadang galakan cukai sewaan EV

Bajet 2023: Kerajaan cadang galakan cukai sewaan EV

KUALA LUMPUR,. Kerajaan mencadangkan jumlah maksimum amaun sewaan kenderaan elektrik (EV) yang dibenarkan potongan cukai dihadkan sehingga RM300,000 bagi menggalakkan penggunaan kenderaan rendah karbon, menurut Kementerian Kewangan (MOF).

Berdasarkan lampiran Bajet 2023 yang dikeluarkan pada Jumaat, MOF menjelaskan, bagi kedudukan semasa, syarikat yang menyewa kenderaan bermotor bukan komersial diberi potongan cukai di bawah Seksyen 39(1)(k), Akta Cukai Pendapatan 1967 iaitu jumlah maksimum amaun sewaan yang dibenarkan potongan cukai dihadkan sehingga RM100,000 untuk kos kenderaan tidak melebihi RM150,000,

“Sementara itu, bagi kos kenderaan melebihi RM150,000, jumlah maksimum amaun sewaan yang dibenarkan potongan cukai dihadkan kepada RM50,000,” menurut lampiran tersebut.

Menurutnya cadangan bagi tarikh kuat kuasa adalah mulai tahun taksiran 2023 hingga tahun taksiran 2025 berbanding layanan cukai ini yang berkuat kuasa mulai tahun taksiran 2002.

Ia turut mencadangkan agar galakan cukai diberikan kepada pengilang peralatan pengecasan untuk EV.

“Untuk terus melengkapkan ekosistem EV dan menarik pelaburan segera bernilai tinggi dalam pengilangan peralatan pengecasan EV, dicadangkan galakan cukai yang meliputi pengecualian cukai pendapatan 100 peratus ke atas pendapatan berkanun mulai tahun taksiran 2023 hingga tahun taksiran 2032,” katanya.

Selain itu, menurut MOF, syarikat yang membuat pelaburan awal layak menikmati tempoh pengecualian cukai sehingga 10 tahun.

Syarikat yang membuat pelaburan selepas tahun taksiran 2023 pula, layak menikmati baki tempoh pengecualian sahaja atau elaun cukai pelaburan (ECP) sebanyak 100 peratus untuk tempoh lima tahun serta boleh ditolak sehingga 100 peratus daripada pendapatan berkanun bagi setiap tahun taksiran, katanya.

Menurut MOF, tarikh kuat kuasa yang dicadangkan bagi permohonan yang diterima oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia adalah mulai 8 Okt, 2022 hingga 31 Dis, 2025.

MOF menjelaskan, Malaysia sedang giat mewujudkan ekosistem mobiliti elektrik selari dengan Dasar Automotif Nasional 2020 dan Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon 2021 hingga 2030.

Bagi meluaskan jaringan infrastruktur peralatan pengecasan, adalah penting untuk memastikan produk berkenaan dapat dihasilkan dalam negara dengan kos yang kompetitif, katanya.

Ia turut menyarankan agar lanjutan pengecualian duti import dan duti eksais ke atas kenderaan elektrik CBU (model diimport sepenuhnya).

“Bagi menggalakkan permintaan domestik terhadap EV selaras dengan Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon, Pelan Hala Tuju EV dan Dasar Automotif Nasional 2020 serta mengambil kira kekurangan cip kenderaan yang menjadi isu global semasa, pengecualian duti import dan duti eksais sepenuhnya dicadangkan ke atas EV jenis CBU import dilanjutkan untuk tempoh setahun,” katanya.

Sementara itu, bagi mengiktiraf aktiviti penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) sebagai sumber baharu untuk pertumbuhan ekonomi dan mencapai pelepasan gas rumah kaca sifar bersih, turut disarankan adalah galakan cukai bagi syarikat yang melaksanakan aktiviti CCS (dalaman) termasuk ECP sebanyak 100 peratus ke atas perbelanjaan modal yang layak dilakukan dalam tempoh 10 tahun, katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This