Bajet 2023: Kerajaan laksana rancangan tebatan banjir sehingga 2030
KUALA LUMPUR,. Kerajaan akan melaksanakan Rancangan Tebatan Banjir sehingga 2030 sebagai strategi jangka panjang bagi beradaptasi dengan perubahan iklim di seluruh negara dengan nilai keseluruhan RM15 bilion.
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di Dewan Rakyat hari ini berkata bagi 2023, sebahagian besar projek akan dianugerahkan dengan anggaran perbelanjaan RM700 juta.
Beliau berkata antara projek utama yang digerakkan termasuk pelaksanaan projek Empangan Sabo bernilai RM562 juta di 46 lokasi seluruh negara bagi mengurangkan risiko banjir puing dan banjir lumpur seperti tragedi banjir di Baling, Kedah.
“Selain itu, pembinaan kolam takungan dwifungsi bernilai hampir RM2 bilion melibatkan jajaran di sepanjang Sungai Klang dan Sungai Rasau di Selangor sebagai strategi serampang dua mata mengatasi masalah banjir dan sebagai sumber penyimpanan bekalan air mentah,” katanya.
Menurutnya, kerajaan juga melaksanakan projek fasa tambahan Lembangan Sungai Bersepadu di Sungai Golok di Kelantan hampir RM500 juta dan penaiktarafan sistem ramalan cuaca bagi memperkasa ramalan dan amaran banjir di peringkat nasional.
Sementara itu, Tengku Zafrul berkata bagi tahun hadapan, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan diperuntukkan sejumlah RM174 juta.
“Ia sebagai langkah persediaan proaktif, Kementerian Kewangan akan terus menyalurkan tambahan RM400 juta kepada NADMA supaya bersiap-siaga membantu dengan segera jika berlaku banjir pada hujung tahun ini.
“Bagi 2023 juga, kerajaan telah menyediakan peruntukan awal RM100 juta di bawah Tabung Bantuan Bencana Negara dan Kementerian Kewangan bersedia untuk menambahkan peruntukannya mengikut keperluan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata sebagai langkah persediaan Angkatan Tentera Malaysia menghadapi sebarang bencana, dua buah hospital medan tambahan melibatkan kos RM47 juta akan siap pada hujung tahun ini di Kluang, Johor dan Kota Kinabalu di Sabah.
Tengku Zafrul berkata sebagai tambahan, sebanyak 50 unit ambulans juga akan ditempatkan di kem tentera, sedia untuk dikerahkan membantu jika berlaku bencana.
Kerajaan juga menyediakan RM20 juta di bawah Geran Pertubuhan Prihatin Komuniti bagi manfaat 2,000 persatuan penduduk melaksanakan aktiviti kesukarelawan.
“Antaranya menyertai kursus kebombaan bagi mempersiap diri sekiranya berdepan sebarang bencana seperti banjir dan kebakaran di peringkat komuniti,” katanya.
— BERNAMA