Balai Seni Negara sahkan penurunan karya Ahmad Fuad Osman

KUALA LUMPUR,. Balai Seni Negara pada Isnin mengesahkan empat karya Ahmad Fuad Osman telah diturunkan, sempena pameran “At The End Of The Day, Even Art is Not Important” setelah diputuskan dalam mesyuarat Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara.

Pengarah Balai Seni Negara Amerruddin Ahmad dalam kenyataan berkata karya yang terlibat adalah ‘Untitle 2012’, ‘Dreaming of Being Somebody Afraid of Being Nobody’, ‘Imitating the Mountain 2004’, dan ‘Mak Bapak Borek, Anak Cucu Cicit Pun Rintik’.
“Isu penurunan karya ini bukanlah suatu perkara yang mustahil dalam proses berpameran di Balai Seni Negara.

“Prosedur Operasi Piawai (SOP) Balai Seni Negara dalam mana-mana perjanjian di antara Balai Seni Negara dan mana-mana pihak yang berpameran, menerangkan bahawa Balai Seni Negara berhak menurunkan karya-karya yang menyentuh maruah mana-mana individu, agama, politik, bangsa, adat dan negara.
“Pameran adalah merupakan suatu proses dan ia bukan produk akhir, walaupun dalam tempoh berpameran, proses ini sentiasa berjalan untuk mendapatkan kematangan yang sesuai dengan pengunjung dan masyarakat kita,” katanya.

Beliau berkata dalam pameran sebelum ini, terdapat juga situasi di mana pelukis dan agensi ini membuat perubahan pada susun atur dan pemilihan karya, untuk mendapatkan hasil yang sesuai dengan maksud dan pengunjung di Malaysia.

Menurutnya, Balai Seni Negara tidak menyentuh kredibiliti pelukis dari segi komentar dan juga kebolehannya, bagaimanapun pihak Balai Seni Negara berpendapat karya-karya tersebut memerlukan bimbingan, penerangan dan pemahaman seni yang tinggi untuk dihayati supaya tidak disalah erti.

“Tindakan ini diambil merujuk kepada respon dan aduan masyarakat yang diterima. Peranan galeri ini adalah sebuah ‘galeri institusi’ yang didanakan oleh kerajaan, dan perlu beroperasi mengikut norma dan tertibnya,” tambahnya.

Mengulas lanjut, Amerruddin berkata perkara ini telah melalui perbincangan antara Balai Seni Negara dengan pelukis dan telah diformalitikan melalui surat makluman rasmi.

Tambahnya, kekeliruan ini mengundang reaksi dari masyarakat seni visual negara.

“Di atas keperihatinan itu, Balai Seni Negara mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )