BAM akan ketengah pemain kebangsaan, profesional pada Kejohanan BAMTC, Piala Sudirman

BAM akan ketengah pemain kebangsaan, profesional pada Kejohanan BAMTC, Piala Sudirman

KUALA LUMPUR,. Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan menghantar gabungan pemain kebangsaan dan profesional untuk bertanding dalam dua kejohanan bagi acara berpasukan campuran tahun ini.

Pengarah kejurulatihan perseorangan BAM Wong Choong Hann berkata kejohanan itu ialah Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia 2023 (BAMTC) di Dubai, Emiriah Arab Bersatu dari 14 hingga 19 Feb diikuti Piala Sudirman di Suzhou, China dari 14 hingga 21 Mei.
Advertisement

“Saya rasa BAM akan membuat pengumuman rasmi (mengenai senarai pemain) tidak lama lagi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat dengan Majlis Sukan Negara (MSN) di sini hari ini.

Beliau juga berkata mereka telah berbincang dengan beberapa pemain utama untuk mendapatkan gambaran jelas mengenai cara kedua-dua pihak harus bergabung dalam kedua-dua kejohanan.

“Ia bakal menjadi musim yang sibuk bagi 2023 dan melihat kepada tempoh kelayakan Sukan Olimpik 2024 yang bermula pada Mei, bukan sahaja kita malah pemain profesional sudahpun memiliki rancangan mereka.

“Ini termasuk cara menjimatkan tenaga serta menyediakan diri dari segi fizikal dan fizikal menjelang separuh kedua tahun ini,” katanya.
Ditanya sama ada jaguh perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia akan menyertai skuad itu, Choong Han hanya menjawab: “Saya akan maklumkan anda (media) kemudian.”

Pada edisi sebelum ini yang berlangsung di Hong Kong pada 2019, BAM telah memilih menghantar skuad kedua mereka. Malaysia tewas 0-3 kepada China yang menjuarai kejohanan itu, pada suku akhir.

Choong Hann turut memaklumkan bahawa mesyuarat dengan MSN hari ini adalah lebih kepada membincangkan mengenai persiapan menghadapi tiga temasya sukan seperti Sukan SEA 2023 di Phnom Penh, Kemboja, Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China dan Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis.

“Kami ingin melihat bagaimana keseluruhan kerjasama antara BAM, MSN dan Institut Sukan Negara dapat menyokong pemain terutama untuk melayakkan diri ke Paris 2024,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This