
Banci penduduk melalui e-Census, CATI
KOTA KINABALU,. Banci penduduk dan perumahan 2020 dijalankan melalui soal selidik secara dalam talian iaitu e-Census dan Computer Assisted Telephone Interview (CATI).
Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia Sabah Norhayati Jantan berkata, kaedah pembancian secara atas talian itu bagi meminimumkan risiko pandemik COVID-19 dan meningkatkan keyakinan kepada responden untuk memberikan kerjasama.
Menurutnya, operasi pembancian di lapangan secara bersemuka akan dilaksanakan melalui computer assisted personal interview (CAPI) pada 7 hingga 24 Oktober 2020.
“Kaedah dijalankan bagi tempat kediaman yang masih belum memberi respon secara atas talian.
“Manakala kaedah temuramah secara bersemuka akan dilakukan mengikut prosedur standard operasi (SOP) yang dirujuk kepada Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dari semasa ke semasa,” jelasnya.
Norhayati memberitahu demikian kepada media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri semalam.