Bangladesh batal program vaksinasi besar-besaran akibat kekurangan vaksin COVID-19

Bangladesh batal program vaksinasi besar-besaran akibat kekurangan vaksin COVID-19

DHAKA,. Bangladesh pada Isnin membatalkan program vaksinasi COVID-19 besar-besarannya berikutan kekurangan dos vaksin, lapor Agensi Anadolu.

“Kami tidak meneruskan kempen vaksinasi mega akibat kekurangan dos vaksin. Oleh itu, istilah ‘vaksinasi besar-besaran’ tidak akan diguna pakai lagi,” menurut kenyataan Menteri Kesihatan Zahid Maleque.

Maleque berkata pendaftaran vaksinasi masih dibuka namun ia “bergantung kepada bekalan vaksin sedia ada kerana kami tidak mahu orang ramai beratur panjang di pusat vaksinasi.”

Sehingga kini, lebih 35 juta penduduk telah mendaftar untuk mendapatkan vaksin, sementara lebih 20 juta warga sudah menerima vaksin, katanya.

Kerajaan sebelum ini telah melancarkan “kempen vaksinasi besar-besaran” selama enam hari bermula 7 Ogos.

Pihak berkuasa menerima kritikan apabila orang ramai terpaksa beratur panjang menyebabkan garis panduan keselamatan COVID-19 di pusat vaksinasi seluruh negara gagal dipatuhi selain masalah kekurangan bekalan vaksin.

Pada 15 Ogos lalu Maleque dilaporkan berkata program vaksinasi mega tidak dapat diteruskan akibat jumlah dos vaksin semakin berkurangan.

Menurut laporan, Bangladesh dijangka menerima bekalan tambahan enam juta dos vaksin Pfizer-BioNTech COVID-19 pada September, dan kerajaan telah menempah lebih 60 juta vaksin China sementara 60.8 juta dos di bawah kemudahan COVAX akan diperoleh.

“Tiada lagi krisis kekurangan vaksin selepas ini dan sekitar 70 hingga 80 juta rakyat akan mendapat akses kepada vaksin pada Januari dan Februari 2022,” katanya.

Bangladesh pada Isnin melaporkan 117 kematian dan 5,717 kes baharu COVID-19, menjadikan jumlah korban terkini mencecah 25,399 dan lebih 1.46 juta kes, menurut data rasmi.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )