Bangunan Komtar diserikan dengan cahaya berwarna merah sempena Hari Jururawat Sedunia 2020

GEORGE TOWN,. Cahaya lampu berwarna merah menerangi bangunan Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), di sini sebagai tanda menghargai jasa semua jururawat di atas pengorbanan mereka membantu menangani penularan pandemik COVID-19.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow dalam kenyataan yang dikeluarkan malam ini berkata, kerajaan negeri mengambil inisiatif itu sempena sambutan Hari Jururawat Sedunia 2020 yang disambut pada 12 Mei setiap tahun.

“Pemilihan warna merah melambangkan keberanian yang dimiliki oleh para jururawat dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab meskipun negara kini berhadapan dengan detik yang sukar akibat ancaman COVID-19. Terdapat seramai 5,636 jururawat bertugas di Pulau Pinang,” katanya.

Beliau berkata warna merah juga melambangkan penghargaan tertinggi rakyat Pulau Pinang kepada semua jururawat dan pekerja perubatan serta warna riben yang dipilih untuk sambutan Hari Jururawat Sedunia 2020 itu.

Bangunan ikonik negeri Pulau Pinang itu dinyalakan dengan lampu warna merah bermula malam ini dan esok, dari pukul 8 malam hingga 12 tengah malam.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )