Banjir di Pontian pulih sepenuhnya

JOHOR BAHRU,. Keadaan banjir di Pontian pulih sepenuhnya selepas kesemua 159 mangsa daripada 36 keluarga yang ditempatkan di dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS), dibenarkan pulang ke rumah masing-masing lewat petang Jumaat.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar Johor, Tan Chen Choon berkata mereka semuanya merupakan penduduk dari Kampung Melayu Batu 30 Bukit Panjang, Kampung Maju Jaya dan Kampung Paya Embun yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Bukit Panjang dan SK Kampung Parit Haji Adnan.

“Mereka dibenarkan pulang kerana keadaan banjir di kampung mereka sudah pun pulih dan rumah selamat untuk didiami,” katanya dalam satu kenyataan di sini, malam ini.

Beliau berkata berikutan perkembangan itu, dua PPS terbabit telah pun ditutup pada pukul 5 petang tadi.

Sementara itu, mengenai keadaan banjir di Batu Pahat, Tan memberitahu masih terdapat 16 mangsa daripada tiga keluarga mendapat perlindungan di PPS SK Sungai Kajang dan 39 mangsa daripada 10 keluarga ditempatkan di SK Sri Binjai.

Katanya, beliau tidak menolak kemungkinan semua PPS itu ditutup esok namun bergantung kepada keadaan cuaca.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )