Banjir: Jumlah mangsa di Kelantan, Terengganu, Selangor meningkat malam ini

Banjir: Jumlah mangsa di Kelantan, Terengganu, Selangor meningkat malam ini

KUALA LUMPUR,. Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Kelantan, Terengganu dan Selangor meningkat malam tadi, susulan hujan lebat berterusan.

Di KELANTAN, seramai 933 mangsa banjir daripada 249 keluarga berada di 16 PPS setakat 8.26 malam ini, dengan 10 daripada pusat itu dibuka di Kuala Krai dan enam di Tanah Merah.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), di Kuala Krai mangsa ditempatkan di Pusat Komuniti Chuchuh Puteri A, Madrasah Chuchuh Puteri A, Masjid Chuchuh Puteri A, Pejabat Veterinar, Sekolah Kebangsaan (SK) Chenulang dan Madrasah Kampung Sepuluh.

Selain itu, mangsa ditempatkan di SK Banggol Guchil, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Krai, SK Sungai Embak dan SK Kampung Bedal, manakala PPS di Tanah Merah meliputi antaranya SK Kelewek, Balai Raya Padang Kijang, Madrasah Wak Seman Kampung Air Batu, SK Alor Pasir dan SK Bukit Bunga.

Di TERENGGANU, seramai 240 orang daripada 65 keluarga ditempatkan di empat PPS di daerah Hulu Terengganu, setakat 8 malam ini.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu (JPBNT), PPS Projek Penyusunan Semula Kampung (PPSK) Kampung Gunung Menerong, menempatkan 124 mangsa daripada 29 keluarga, PPS Kampung Lubuk Periok (32 mangsa, 10 keluarga), PPS Kampung Peneh (52 mangsa, 16 keluarga) dan PPS Kampung Kemat (32 mangsa, 10 keluarga).

Sementara itu menurut https://publicinfobanjir.water.gov.my paras air sungai di empat stesen utama di Terengganu, sudah mencapai tahap bahaya.

Ini termasuk stesen Sungai Besut di Jambatan Keruak, Besut; Sungai Besut di Kampung Langkap, Setiu; Sungai Berang di Kampung Menerong dan Sungai Telemong di Kuala Ping, Hulu Terengganu.

Di SELANGOR, 105 mangsa daripada 34 keluarga berlindung di dua PPS setakat 9 malam tadi, meningkat berbanding 99 mangsa daripada 33 keluarga petang tadi.

Menurut laman sesawang Info Bencana JKM, kesemua mangsa berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan Jaya Setia dan Balai Raya Kampung Parit Mahang di daerah Kuala Selangor, yang mula dibuka semalam.

Laman web publicinfobanjir.water.gov.my menunjukkan sungai di kawasan RS Batu 8, Kuala Langat berada dalam keadaan amaran dengan bacaan 1.73 meter (m) setakat 8.15 malam ini, manakala Sungai Bernam di Jambatan SKC dan Kampung Sungai Selisik, Hulu Selangor pula diletakkan dalam keadaan waspada dengan masing-masing mencatatkan bacaan 18.35m dan 26.3m.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )