Banjir kilat di Taiping antara terburuk sejak 15 tahun – Mangsa

Banjir kilat di Taiping antara terburuk sejak 15 tahun – Mangsa

TAIPING,. Hujan lebat berterusan sejak petang semalam sehingga mengakibatkan banjir kilat melanda beberapa kawasan di sekitar Taiping disifatkan antara yang terburuk pernah berlaku sejak 15 tahun lepas.

Antara kawasan terjejas Taman Seri Kota Fasa Dua, Kampung Sempadan, Kampung Air Kuning dan Taman Kuning Sari.

Pasangan warga emas Nur Lalilah Yang Yahaya, 79, dan suaminya Mohamad Shaiyuddin Ahmad, 83, dari Taman Seri Kota Fasa Dua di sini berkata mereka berdua sempat menyelamatkan diri semasa kejadian kira-kira 6 petang semalam.

“Makcik baru terjaga dari tidur dan terkejut apabila air naik secara mendadak sehingga paras pinggang masuk ke dalam rumah. Ini adalah banjir kedua terburuk sejak 15 tahun lepas.

“Ada beberapa kelengkapan perabot yang makcik baru beli, habis kesemuanya rosak termasuk peralatan elektrik serta cermin pintu gelangsar juga turut pecah akibat banjir,” katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

Nur Lalilah yang tinggal di situ sejak 43 tahun lepas berkata kawasan perumahan yang berhampiran sungai kerap dinaiki air tetapi hanya di sekitar laman rumah sahaja.

Dia berkata tiga anaknya dari Kuala Lumpur dan Seri Iskandar pulang awal pagi tadi untuk membantu mengemas rumah dan membuang barangan yang rosak teruk.

Sementara itu, Shahrimee Sharudin, 43, pula berkata ketika kejadian dia serta isteri dan empat orang anaknya tiada rumah kerana bercuti di Terengganu sejak Jumaat lepas.

“Saya mendapat panggilan daripada jiran serta melihat rakaman kamera litar tertutup menerusi telefon bimbit petang semalam dan bergegas pulang ke sini. Saya baharu selesai membuang pelbagai barangan elektrik dan perabot yang rosak teruk. Dua buah kereta iaitu Proton Ezora dan Perodua Alza turut ditenggelami banjir,” katanya yang tinggal di situ sejak dua tahun lepas.

Menurut pihak berkuasa, setakat tengah hari, 55 mangsa ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Orang Ramai Air Kuning, Changkat Jering dan Dewan Orang Ramai Sungai Baru, Trong.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This