Banjir: Lebih 2,000 orang di enam negeri dipindahkan

KUALA LUMPUR,. Setelah hampir seminggu negara memasuki fasa musim tengkujuh, enam negeri mula merasa kesannya apabila hujan lebat hampir setiap hari menyebabkan 2,345 orang dipindahkan ke pusat-pusat penempatan sementara apabila rumah mereka dinaiki air.

Enam negeri terlibat ialah Perlis, Perak, Kedah, Pulau Pinang, Johor dan Selangor.

Sehingga 4 petang ini, Selangor mencatat bilangan mangsa paling tinggi apabila jumlah yang dipindahkan ke empat pusat penempatan sementara di Kuala Selangor ialah 869 orang daripada 282 keluarga.

Jurucakap Smart Selangor Command Center berkata jumlah mangsa di Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Mahang adalah 600 orang daripada 167 keluarga manakala di pusat pemindahan sementara SK Jaya Setia ialah 47 orang daripada 16 keluarga; SK Ijok (72 orang daripada 49 keluarga); dan di SK Pasangan (150 orang daripada 50 keluarga).

Di PERLIS, 146 orang melibatkan 35 keluarga dipindahkan ke dua pusat penempatan sementara iaitu di Dewan Sivik Arau dan Masjid Banggol Sena, Chuping, menurut kenyataan Sekretariat Jabatan Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perlis.

Di KEDAH, jumlah mangsa yang dipindahkan ialah 246 orang petang ini, manakala sebuah pusat penempatan sementara iaitu SK Junjong yang menempatkan 20 mangsa daripada lima keluarga di Kulim telah ditutup pada 2.30 petang tadi.

Di PERAK, jumlah mangsa banjir menurun kepada 618 orang daripada 159 keluarga berbanding 642 orang daripada 162 keluarga, tengah hari tadi. Kesemua mereka ditempatkan di enam pusat penempatan sementara.

Menurut portal info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), tiga daerah terjejas dengan banjir di negeri itu iaitu Daerah Hilir Perak mencatat jumlah mangsa paling tinggi iaitu 337 orang; Daerah Kerian (235 orang); dan Daerah Batang Padang (47 orang).

Di JOHOR, bilangan mangsa banjir berkurangan kepada 401 orang daripada 96 keluarga petang ini, berbanding 498 orang daripada 123 keluarga pada tengah hari.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar Johor, Tan Chen Choon berkata penurunan bilangan mangsa terbabit berikutan penutupan tiga pusat penempatan sementara iaitu di Johor Bahru dan Kluang.

Di PULAU PINANG, jumlah mangsa banjir di Daerah Seberang Perai Tengah kekal 65 orang dan mereka ditempatkan di dua pusat penempatan sementara di daerah itu, kata Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri Phee Boon Poh.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )