Banjir: Mangsa di Kelantan berkurang, Perak tidak berubah

Banjir: Mangsa di Kelantan berkurang, Perak tidak berubah

KUALA LUMPUR,. Mangsa banjir ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Kelantan berkurangan pagi ini, manakala di Perak tidak mencatatkan perubahan.

Di KELANTAN, penghuni PPS akibat banjir temenung di jajahan Pasir Mas menurun kepada 3,077 orang daripada 957 keluarga setakat 8 pagi ini, berbanding 3,109 orang daripada 969 keluarga malam tadi.

Menurut Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Kelantan, PPS terlibat ialah SK Gual Tinggi, SK Gual To’Deh, SMK Gual Periok, SMK Baroh Pial, SK Kedai Tanjong, SK Gual Periok, Madrasah Tasek Bakong, Masjid Mukim Padang Licin, SK Sri Kiambang dan SMK (A) Pohon Buluh.

Sementara di PERAK, 39 orang daripada 10 keluarga kekal di PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak, Teluk Intan, setakat 8 pagi ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak memaklumkan kawasan terjejas banjir juga kekal melibatkan daerah Hilir Perak iaitu di kawasan Batu 9, Lorong Kedah, Lorong Belakang Klinik, Lorong Sidang Osman, Batu 7, Batu 8, Lorong Imam Khairi dan Lorong Mesra.

Menurut JPBN Perak, paras Sungai Bidor, Changkat Jong pagi ini mencatatkan bacaan bahaya 3.55 meter dengan cuaca di daerah Hilir Perak diramalkan hujan pada petang dan malam ini.

Berkenaan laporan tanah runtuh di Selama, Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak memaklumkan laluan A021 Jalan Kubu Gajah-Ijok Sumpitan dibuka kepada semua kenderaan setelah kerja pembersihan dijalankan dengan Jalan Pintasan Kampung Sumpitan-Kampung Masjid sebagai laluan alternatif.

Laluan FT 1152 Felda Trolak Selatan di Batang Padang juga kekal dibuka satu lorong kepada semua kenderaan bagi pembaikan bahu jalan.

Sementara itu, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam kenyataan memaklumkan JPBN dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) di beberapa negeri serta kawasan berisiko tinggi telah diarah untuk diaktifkan dan meningkatkan tahap kesiapsiagaan.

Ia susulan Amaran Hujan Berterusan Waspada (Kuning) oleh Jabatan Meteorologi Malaysia awal pagi tadi yang melibatkan seluruh negeri Kelantan dan Terengganu serta Jerantut, Kuantan, Pekan dan Rompin di Pahang sehingga 25 Dis selain Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru di Johor hari ini.

Menurut NADMA, JPBN dan JPBD di kawasan terlibat perlu memastikan setiap PPS dilengkapi keperluan asas dan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) mempunyai aset pengoperasian mencukupi serta berada dalam keadaan baik dan bersedia untuk digunakan.

“NADMA melalui Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) akan sentiasa memantau situasi parameter maklumat teknikal dengan kerjasama pelbagai agensi teknikal.

“NDCC juga sentiasa dalam kesiapsiagaan menerima maklumat bencana, bantuan pengurusan dan pengoperasian bencana dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan itu

NDCC boleh dihubungi di 03-80642400, faksimili 03-80642429 atau e-mel [email protected].

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This