Banjir: Masih ada penduduk degil enggan berpindah
KOTA TINGGI,. Walaupun pihak berkuasa sentiasa mengingatkan mangsa banjir agar mematuhi garis panduan yang diberikan kerajaan, masih terdapat penduduk yang degil dan enggan berpindah apabila tiba waktunya.
Perkara itu disaksikan oleh pasangan pertengahan umur yang terperangkap di sebuah bangunan rumah kedai di bandar ini setelah mereka diselamatkan oleh pasukan Angkatan Pertahanan Awam (APM) hari ini.
Sarina Sulaiman, 45, berkata beliau dan suaminya terperangkap di tingkat atas rumah kedai itu selepas banjir mulai naik sejak semalam dan kini mencecah ketinggian dua meter kerana hujan lebat sejak Jumaat.
Beliau berkata terdapat sebuah keluarga yang terdiri daripada tiga orang dewasa dan seorang kanak-kanak masih berada di sebelah rumah kedai mereka kerana tidak mahu dipindahkan oleh pasukan penyelamat.
“Ketika pasukan penyelamat tiba, keluarga itu mengatakan mereka tidak mahu diselamatkan kerana enggan meninggalkan kediaman mereka dan akan menunggu air surut dalam masa beberapa hari ini,” katanya ketika ditemui Bernama di sini.
Katanya, keluarga itu mungkin berasakan tidak perlu untuk berpindah kerana rumah kedai mereka masih mempunyai bekalan elektrik dan air serta sering mengalami kejadian banjir sebelum ini.
Berkongsi kisahnya, Sarina berkata selepas rumahnya di Taman Kuso di sini dinaiki air pada Jumaat lepas, mereka memindahkan semua barang-barang ke rumah kedai di bandar dan memutuskan untuk tinggal di sana ketika paras air banjir masih berada di bawah lutut.
“Pada malam itu hujan tanpa henti, jadi suami saya mengambil langkah berjaga-jaga dengan memindahkan kereta ke tempat yang lebih tinggi. Sebaik Subuh, baru kami menyedari bahawa kami telah terperangkap di sini kerana air banjir telah mencapai paras dada,” katanya.
Beliau, bagaimanapun bersyukur kerana masih mempunyai bekalan air dan elektrik di rumah kedai itu kerana air banjir belum sampai ke kotak fius bangunan, yang membolehkan mereka memasak dan menghubungi pasukan penyelamat.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Hussin Zamora berkata orang ramai yang ingin menggunakan perkhidmatan bot persendirian untuk memasuki kawasan pusat bandar dengan tujuan mengeluarkan barang dari premis masing-masing dikehendaki mendapatkan kebenaran pihak polis terlebih dahulu.
— BERNAMA