Banjir, tanah runtuh di Vietnam ragut 55 nyawa, tujuh hilang

HANOI, 16 Okt — Bencana alam yang dicetuskan hujan lebat di Vietnam sejak 10 hari lalu sudah meragut 55 nyawa manakala tujuh yang lain masih hilang, lapor agensi berita Xinhua.

Menurut Jawatankuasa Pemandu Kawalan dan Pencegahan Bencana Alam pada Jumaat kebanyakan kematian dilaporkan di wilayah Quang Tri, Thua Thien Hue dan Quang Nam.

Antara yang terkorban, ialah 13 anggota pasukan penyelamat yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh ketika menjalankan misi menyelamat di daerah Phong Dien, Thua Thien Hue.

Lebih 30 yang lain dihanyutkan air banjir, operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan, kata jawatankuasa itu.

Antara 5 hingga 13 Oktober, hujan lebat melanda di kawasan tanah tinggi dengan curahan hujan melebihi 2,000 milimeter di beberapa kawasan.

Hujan lebat diramal kembali melanda kawasan tanah tinggi bermula 16-21 Oktober, menurut pusat meteorologi negara itu.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )