Bank Muamalat lancar platform pendanaan awam kebajikan sosial

Bank Muamalat lancar platform pendanaan awam kebajikan sosial

KUALA LUMPUR, 22 Sept — Bank Muamalat Malaysia Bhd melancarkan platform pendanaan awam kebajikan sosial untuk menghasilkan impak yang mapan kepada ekonomi.

Pengerusinya Datuk Seri Tajuddin Atan berkata platform ‘Jariah Fund’ itu adalah sejajar dengan Strategi Pengantaraan Berasaskan Nilai Bank Negara Malaysia sebagai langkah penting untuk membantu meningkatkan ekonomi dan industri perbankan.

“Kami berharap dapat membantu kumpulan yang terjejas menerusi inisiatif pendanaan awam dalam talian ini. Orang ramai boleh memilih untuk membuat sumbangan secara dalam talian kepada mana-mana kempen kebajikan yang dinyatakan,” katanya dalam ucapan semasa pelancaran platform itu di sini hari ini.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat Khairul Kamarudin.

Tajuddin berkata ‘Jariah Fund’ akan menarik penyertaan penyumbang dan penderma yang lebih berminat dalam urus niaga yang telus, efisien dan mudah.

“Platform ini menggunakan e-pembayaran yang dibangunkan menggunakan kepakaran dalaman pada kos yang minimum,” katanya dan menurutnya sumbangan itu layak mendapat pengecualian cukai.

Untuk fasa pertama yang bermula bulan ini sehingga Mac tahun depan, bank itu akan bekerjasama dengan lima pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebagai rakan kebajikan iaitu Yayasan Sejahtera, Yayasan Ikhlas, Yayasan Muslimin, Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM) dan Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB).

“Sasaran adalah bagi menyalurkan kira-kira RM40,000 daripada dana itu kepada penerima manfaat yang terpilih menerusi enam projek berasaskan komuniti,” kata Tajuddin.

Bagi fasa pertama, kempen yang terpilih terbahagi kepada tiga kategori iaitu pendidikan, kesihatan dan pemerkasaan ekonomi.

Katanya, antara projek yang terpilih adalah penanaman cili, projek pendidikan untuk Orang Asli dan bantuan kepada mereka yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan.

“Lima lagi rakan kebajikan akan terlibat dalam fasa kedua dan lebih banyak kategori akan dimasukkan dengan menyasarkan 15 projek,” katanya.

Tajuddin berkata platform pendanaan awam itu akan menjadi pelengkap kepada pembiayaan bank dan ia semakin dikenali terutamanya selepas perniagaan menerima impak akibat pandemik COVID-19.

Platform itu berupaya menyediakan sokongan kepada keperluan pembiayaan tambahan bagi perniagaan, usahawan, NGO dan penerima manfaat yang lain, katanya.

“Platform pendanaan awam ekuiti (ECF) dan pembiayaan antara rakan setara (P2P) menyumbang secara signifikan kepada keperluan modal bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (MSME).

“Pada tahun lepas, ECF dan P2P menyumbang kira-kira RM706 juta sebagai modal alternatif kepada MSME kerana ia mampu menarik pelaburan daripada pemain runcit dan industri,” katanya.

Untuk maklumat lanjut, layari jariahfund.muamalat.com.my.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This