Bantuan bakul makanan di kawasan PKP di Sarawak mulai Khamis ini -JPBB

Bantuan bakul makanan di kawasan PKP di Sarawak mulai Khamis ini -JPBB

KUCHING, 2 Feb — Kerajaan negeri Sarawak akan menyalurkan 16,000 bantuan bakul makanan kepada ketua isi rumah di Kapit, Song, Pelagus, Katibas, Bukit Goram dan sebahagian dari Belaga yang terjejas berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula hari ini hingga 15 Feb depan.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata bantuan bakul makanan itu akan diagihkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Kapit secara berperingkat-peringkat mulai Khamis.

Beliau berkata keseluruhan peruntukan bagi program bantuan bakul makanan itu termasuk kos pengangkutan berjumlah RM1.42 juta.

“Dengan pelaksanaan PKP ini, pergerakan agak terhad dan kerajaan negeri memutuskan untuk memberi bantuan, sedikit sebanyak dapat meringankan beban masyarakat kita yang terkesan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat berhubung rantaian makanan di bangunan Wisma Sumber Alam di sini, hari ini.

Enam kawasan itu dikenakan PKP susulan peningkatan kes COVID-19 melibatkan jangkitan tempatan dengan sebahagiannya daripada Kluster Pasai yang diisytihar pada 9 Jan lepas.

Beliau berkata pengagihan bantuan itu akan menggunakan pengangkutan bersesuaian mengikut keadaaan geografi di kawasan terbabit.

Antara yang turut terlibat menyalurkan bantuan termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam, Angkatan Tentera Malaysia dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, katanya.

Dalam pada itu, Awang Tengah berkata bagi program bantuan bakul makanan di Sibu yang turut dikenakan PKP sejak 16 Jan lepas, 36,805 ketua isi keluarga telah menerima bantuan berkenaan sehingga kini.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )