
Bantuan perlu dikumpul di pejabat JKM Miri terlebih dahulu
MIRI,. Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Miri menyarankan semua bentuk bantuan disampaikan terus ke pusat pengumpulan di pejabat JKM Miri sebelum diedarkan kepada penerima.
Pegawai JKM Miri Pengiran Mohamad Najib Pengiran Mohamad berkata, ini bagi memastikan semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO), penderma atau individu mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Mereka yang ingin menderma atau menyampaikan sumbangan seperti beras, makanan dalam tin (halal), makan kering lain dan sebagainya boleh hantar ke pusat pengumpulan makanan JKM Miri,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Antara stok makanan lain yang boleh dihantar ialah gula, minyak masak, biskut, tepung, teh atau kopi, susu tin, susu tepung, mi segera, lampin pakai buang bayi, tuala wanita, air minuman, air mineral, minuman 3 dalam 1 dan makanan ringan.
Menurutnya, semua bantuan tersebut akan dibungkus seterusnya diserahkan kepada penerima mengikut senarai penerima yang layak.
“Tindakan ini antara usaha memutuskan rantaian COVID-19 kerana kita tidak mahu NGO atau penderma memberi secara terus sumbangan kepada penerima dalam tempoh PKP,” jelasnya.
Mereka yang ingin menghantar bekalan makanan kepada JKM perlu menghubungi talian 085-419073 bermula dari Isnin hingga Ahad, jam 8 pagi hingga 5 petang.
“Kita juga mempunyai kakitangan yang bekerja mengikut syif untuk tujuan mengumpul dan membungkus sumbangan seterusnya akan diserahkan kepada penerima,” jelasnya.