Bataras hadkan 40 pelanggan dalam satu-satu masa

Bataras hadkan 40 pelanggan dalam satu-satu masa

LABUAN,. Bagi membendung penularan wabak Covid-19, Pasar Raya Bataras Labuan mengambil langkah tegas mengehadkan jumlah pelanggan seramai 40 orang bagi membeli barangan keperluan harian di premis itu dalam satu-satu masa.

Langkah itu diambil berikutan suasana di pasar raya berkenaan sudah terkawal berbanding sebelum ini.

Pengurus Pasar Raya Bataras, Sapilin Ramlin berkata, penguatkuasaan dibuat pada 19 Mac lalu dengan mengehadkan seramai 20 pelanggan pada peringkat awal dan tiga hari kemudian, dinaikkan kepada 40 orang.

“Meskipun langkah ini menerima rungutan daripada pelanggan, ia dilakukan demi kebaikan pelanggan sendiri dan kakitangan pasar raya,” katanya kepada Wilayahku hari ini.

Sapilin berkata, pihaknya juga mengambil inisiatif menempatkan pembantu di setiap kaunter untuk membungkus barang milik pelanggan.

“Dengan inisiatif ini, ia dapat melancarkan masa dan setiap kali pelanggan datang, kami akan terus bertanya kepada apa barangan yang dicari.

“Berdasarkan pemerhatian kami, kebanyakan pelanggan ketika ini adalah golongan lelaki. Jadi, kami akan membantu mereka mencari barangan khususnya di bahagian sayur,” katanya.

Dalam pada itu, Sapilin berkata, pengurusan pasar raya turut membuat jualan penutup muka di pintu masuk dengan harga RM1.

Menurutnya, langkah itu bagi memastikan pelanggan menggunakan penutup muka ketika berada di pasar raya itu. – WILAYAHKU

CATEGORIES
TAGS
Share This