
Bawa Balik Rakyat Sabah Terkandas Di Nunukan Secara Berperingkat
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata kerajaan negeri kini sedang melakukan beberapa urusan untuk membawa balik lebih 120 rakyat Sabah yang terkandas di Nunukan, Kalimantan Utara, Indonesia.
Beliau berkata usaha untuk membawa balik kesemua rakyat Sabah berkenaan sedang dilaksanakan mengikut prosedur yang ditetapkan oleh kerajaan sebelum ini.
“Kita tidak boleh menghalang mereka balik ke negara ini namun mereka perlu mengikut prosedur yang ada…mereka perlu menjalani kuarantin sebaik sahaja tiba di negeri ini.
“Namun pusat kuarantin yang ada di Tawau kini sangat terhad dan kita perlu membawa mereka secara berperingkat. Saya telah minta mereka tinggal di sana terlebih dahulu sebelum kita bawa mereka balik,” katanya kepada pemberita selepas meninjau sekatan jalan raya sempena Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), di sini, hari ini.
Baru-baru ini, sebuah akhbar tempatan melaporkan lebih 120 rakyat Sabah terkandas di Nunukan, Kalimantan Utara, Indonesia, merayu Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Negeri membantu mereka balik ke negara ini.
Rayuan itu dikemukakan berikutan penguatkuasaan arahan PKP dengan penutupan pintu masuk ke Tawau yang baharu diisytiharkan Daerah Zon Merah.
Mengulas lanjut, Shafie berkata kerajaan Sabah tidak mahu rakyat Malaysia yang terkandas di Nunukan itu balik ke Sabah melalui jalan-jalan tikus.
“Kita tidak mahu perkara itu terjadi kerana kita tidak mahu mereka bejumpa dengan keluarga masing-masing sebelum disahkan bebas daripada wabak COVID-19,” tambahnya.
Beliau berkata sebelum ini kerajaan negeri telah mengeluarkan arahan agar semua rakyat Malaysia yang baharu balik dari negara yang mempunyai kes COVID-19 perlu menjalani kuarantin di tempat yang telah ditetapkan.
Pada masa yang sama, Shafie berkata beberapa agensi seperti Jabatan Kerja Raya telah diarahkan untuk memastikan pusat kuarintin di Sabah dalam keadaan baik dan selesa.
“Saya telah arahkan mereka untuk memperbaiki pusat yang tidak berapa baik…dan kita mahu mereka buat penambahbaikan kepada tandas atau bilik-bilik kuarintin yang kurang selesa,” tambahnya./BERITA SABAH