
Bayi setahun mangsa termuda meninggal dunia akibat COVID-19 – KP Kesihatan
KUALA LUMPUR, 6 Okt — Bayi berusia setahun, yang merupakan antara empat kes kematian yang dilaporkan hari ini, merupakan indvidu termuda meninggal dunia akibat pandemik COVID-19 di negara ini.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, mangsa merupakan bayi perempuan warganegara yang dibawa mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Semporna, Sabah pada 1 Okt lalu.
“Keadaan kesihatan kes didapati merosot dan memerlukan bantuan pernafasan. Saringan COVID-19 didapati positif pada 5 Okt.
“Kes disahkan meninggal dunia pada hari yang sama jam 4.25 petang,” katanya pada sidang media secara dalam talian menerusi laman Facebook rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Dr Noor Hisham yang kini menjalani kuarantin kendiri, buat pertama kali mengadakan sidang media secara maya di rumahnya hari ini, bagi memaklumkan perkembangan terkini COVID-19 di negara ini.
Tiga daripada empat kematian akibat COVID-19 hari ini dilaporkan di Sabah, manakala satu kematian di Pulau Pinang, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di Malaysia sebanyak 141 kes atau 1.04 peratus daripada sejumlah 13,504 kes yang dilaporkan.
Malaysia pernah mencatat jumlah kematian tertinggi dalam sehari pada 29 Mac, yang melibatkan tujuh kematian.
Dr Noor Hisham berkata dua lagi kes kematian di Sabah hari ini melibatkan dua lelaki warganegara, masing-masing berumur 60 tahun yang dimasukkan ke Hospital Duchess of Kent Sandakan pada 25 Sept (kematian ke-138) dan seorang lagi yang mendapat rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Semporna pada 1 Sept (kematian ke-139).
“Bagi kes kematian ke-138 saringan COVID-19 didapati positif pada 26 Sept. Keadaan kes didapati merosot dan disahkan meninggal dunia pada 4 Okt pada jam 6.50 pagi.
“Kes kematian ke-139, mangsa mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Semporna pada 1 Sept. Mangsa didapati positif pada 30 Sept dan disahkan meninggal dunia pada 4 Okt jam 5.05 pagi,“ katanya.
Dr Noor Hisham berkata kes kematian (yang ke-141) di Pulau Pinang, melibatkan lelaki warganegara berumur 85 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi dan penyakit kesihatan mental.
Dr Noor Hisham berkata pesakit ditemui tidak sedar diri semalam (5 Okt) pada 7 pagi dan terus dibawa terus ke Hospital Pulau Pinang.
“Kes didapati tidak bernafas di Hospital Pulau Pinang dan disahkan meninggal dunia hari yang sama jam 7.50 pagi, saringan COVID-19 dikesan positif,” katanya..
— BERNAMA