BECA sahkan semula pelaburan AS$5.2 bilion dalam projek penapisan, petrokimia di Sarawak

BECA sahkan semula pelaburan AS$5.2 bilion dalam projek penapisan, petrokimia di Sarawak

KUCHING,. Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Beijing BECA Sci-Tech Co Ltd Dong Chao di Beijing, hari ini.

Pertemuan beliau yang juga merupakan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan dan Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Kedua adalah bagi berbincang lebih lanjut mengenai cadangan projek kedua BECA di Sarawak.

Walaupun pandemik COVID-19 memperlahankan kemajuan projek yang dicadangkan, syarikat itu telah terlibat secara aktif dengan kerajaan Sarawak supaya cadangan mereka dapat direalisasikan.

Semasa mesyuarat di Beijing, Dong Chao memaklumkan bahawa BECA telah menjalankan kajian tanah dan hidrologi di Sarawak untuk cadangan projek bersepadu petrokimia dan penapisan bernilai AS$5.2 bilion.

BECA, dengan kerjasama Sinopec Engineering Incorporation (SEI) dan China International Trust and Investment Corporation (CITIC), akan meneruskan pelaksanaan projek itu dan dijangka memulakan projek berkenaan pada suku pertama 2024.

Justeru, Awang Tengah mengucapkan terima kasih kepada BECA atas komitmen pihaknya serta memberi jaminan kepada syarikat tersebut bahawa kerajaan negeri akan melakukan yang terbaik untuk memudahkan mereka dalam menjayakan pelaksanaan projek di Sarawak.

Turut hadir pada mesyuarat tersebut ialah Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh, Penasihat (SME) kepada MINTRED Sarawak Datuk Mohd Naroden Majais, Ahli Parlimen Lawas Datuk Henry Sum Agong dan Pengurus Perniagaan/Timbalan Ketua Perwakilan, Kedutaan Besar Malaysia di Republik Rakyat China Sanmugan Subramanian.

Hadir sama Pemangku Setiausaha Tetap MINTRED Sarawak Dzulkornain Masron, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah Datu Ismawi Ismuni dan Ketua Pegawai Eksekutif InvestSarawak Timothy Ong.

CATEGORIES
TAGS
Share This