Bekalan air disalur ke sistem agihan mulai 7.30 malam ini – Air Selangor

Bekalan air disalur ke sistem agihan mulai 7.30 malam ini – Air Selangor

KUALA LUMPUR, 6 Okt — Bekalan air bersih dari Kolam Imbangan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih telah disalurkan ke sistem agihan bekalan air mulai 7.30 malam tadi, demikian menurut Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Ketua Komunikasi Korporatnya Elina Baseri berkata, bekalan air bersih di loji itu lulus ujian kualiti dan pematuhan berdasarkan standard yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Pelan pemulihan bekalan air sedang dilaksanakan berikutan gangguan bekalan air tidak berjadual di 274 kawasan melibatkan Wilayah Petaling, Hulu Langat, Sepang, Putrajaya dan Kuala Langat.

“Pemulihan sepenuhnya dibahagikan kepada tiga kumpulan utama. Pengguna di kawasan kumpulan pertama dijangka mula mendapat bekalan air seawal tengah malam ini,” katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

Air Selangor menganggarkan keseluruhan kumpulan pertama yang merangkumi 145 kawasan akan menerima bekalan air sepenuhnya pada 6 petang esok.

Pengguna disaran untuk membiarkan air pili mengalir sehingga jernih sebelum digunakan untuk kegunaan harian dan menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar seperti yang dijadualkan.

Elina berkata bantuan bekalan air alternatif di pili-pili awam dan Pusat Khidmat Setempat (PKS) masih lagi disediakan untuk kemudahan pengguna terjejas.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This