Bekalan Beras Di Papar Berkurangan

PAPAR,. Selain Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disebabkan oleh pandemik Covid-19, beberapa pasar mini dan pasar raya di sini menyatakan kebimbangan mengenai bekalan beras mereka.

Menurut Chong Soon Kong, 28, premisnya menerima kunjungan berterusan daripada penduduk yang ingin membeli beras.

Pengusaha CSK Trading itu berkata bilangan kampit beras yang dibeli oleh pelanggan dilihat lebih banyak berbanding sebelum PKP dikuatkuasakan.

“Biasanya pelanggan hanya membeli satu atau dua kampit beras tetapi sejak PKP dilaksanakan, ada yang membeli sehingga 10 kampit, malah lebih.

“Perkara lebih membimbangkan ialah saya tidak pasti bila saya boleh mendapatkan bekalan beras untuk pelanggan-pelanggan saya kerana tidak ada tarikh tertentu bila bekalan akan dihantar,” beliau memberitahu Harian Ekspres dalam satu tinjauan di beberapa kawasan di sini.

Pasaraya Servay Jaya di Pusat Komersil Benoni turut mengalami keadaan sama di mana bekalan beras mereka semakin berkurangan dengan ketara.

Jurucakapnya berkata stok di premis itu mencukupi buat masa ini tapi mereka bimbang kerana pembekal belum memaklumkan bila bekalan baharu akan tiba.

Selain individu, katanya, sejumlah besar kampit beras juga dibeli oleh pemimpin-pemimpin masyarakat yang dipercayai untuk diagih-agihkan kepada penduduk di kawasan masing-masing.

Menurutnya, ada penduduk yang dipercayai membuat pembelian panik, membeli sehingga 15 kampit beras dalam satu bil.

“Biasanya pelanggan akan membeli satu hingga tiga kampit sahaja tetapi sejak PKP, mereka membeli lebih banyak, untuk disimpan.

“Ini berlaku hanya untuk beras putih biasa kerana bekalan beras wangi kami masih banyak,” tambahnya.

Satu lagi pasar raya di pusat komersial itu dilihat hanya mempunyai sedikit bekalan beras wangi dan tidak ada bekalan beras putih.

Jurucakapnya berkata pasaraya itu biasanya menerima bekalan setiap minggu tetapi disebabkan PKP, pembekal tidak dapat menentukan bila bekalan baharu akan dihantar.

Dengan bekalan terhad terutamanya disebabkan pembelian secara pukal oleh pemimpin masyarakat dan kampung selaras dengan bantukan khas Covid-19 oleh Kerajaan Negeri, pasar raya lain memilih untuk hanya menjual bekalan mereka kepada pelanggan individu yang datang sendiri ke pasaraya itu.

Jurucakap Everwin Supermarket Sdn Bhd berkata mereka menerima banyak pertanyaan daripada pemimpin-pemimpin masyarakat mengenai bekalan beras putih untuk program itu.

Dengan keperluan sekurang-kurangnya 200 kampit beras putih, katanya, premis itu tidak dapat menyediakan bekalan yang diminta.

“Kami tiada bekalan sebanyak itu tapi kami masih ada bekalan untuk pelanggan yang datang sendiri ke kedai kami. Kami juga

tidak pasti bila bekalan baharu akan dihantar,” tambahnya. – HARIAN EKSPRESS

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )