
Bekas ADUN Bukit Assek meninggal dunia
SIBU,. Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Daniel Ngieng Kiong Ann (gambar) meninggal dunia pada usia 68 tahun di Auckland, New Zealand pada Ahad.
Perkara itu diumumkan oleh Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Clarence Ting menerusi laman Facebook miliknya.
“Berita sedih…bekas Ahli Berhormat (YB) Bukit Assek, Daniel Daniel Ngieng Kiong Ang meninggal dunia secara mengejut di Auckland.
“Beliau yang berumur 68 juga merupakan bekas merupakan Timbalan Pengerusi MPS sehingga 2014.
“Saya mengucapkan takziah kepada isterinya, Grace Lim serta ahli keluarga mendiang yang lain di atas pemergiannya,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi SUPP Cawangan Dudong, Wong Ching Yong ketika dihubungi turut mengesahkan berita kematian tersebut.
“Saya mengetahui tentang kematiannya secara mengejut dari adiknya di Toronto, Kanada,” katanya.
Ngieng menyertai SUPP pada tahun 1987.
Mendiang yang pernah menjawat jawatan sebagai Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, menjadi ADUN Bukit Assek selama satu penggal selepas memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-8 pada tahun 2001.
Pada PRN seterusnya pada 2006, mendiang yang bertanding atas tiket Parti Sarawak Bersatu (SUPP) / Barisan Nasional (BN) gagal mempertahankan kerusi DUN Bukit Assek apabila tewas kepada calon Parti Tindakan Demokratik (DAP), mendiang Wong Ho Leng.
Pada tahun 2010, mendiang Ngieng dilantik sebagai Timbalan Pengerusi MPS dan menyandang jawatan itu sehingga 2014.
Mendiang telah berhijrah ke New Zealand pada tahun 2015.