Bekas ketua kampung tipu sumbangan untuk bina surau didenda RM150,000

Bekas ketua kampung tipu sumbangan untuk bina surau didenda RM150,000

IPOH,. Seorang bekas ketua kampung didenda RM150,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini selepas mengaku bersalah memperdaya seorang bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berhubung sumbangan sebanyak RM350,000 daripada kerajaan negeri Perak bagi pembinaan surau baharu pada 2017.

Hakim S. Indra Nehru menjatuhkan hukuman itu ke atas Zulkifle Othman, 59, selepas dia membuat pengakuan itu atas satu daripada tiga pertuduhan pilihan yang dikenakan terhadapnya mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan serta turut mengarahkan dia dipenjara 15 bulan jika gagal membayar denda.

Berdasarkan pertuduhan itu, Zulkifle ketika itu memegang jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Lambak, Kampung Cabang Lima dan Kampung Lubuk Salak di daerah Muallim didakwa memperdayakan Datuk Rusnah Kassim.

Rusnah diperdayakan oleh Zulkifle sehingga didorong untuk memohon sumbangan berjumlah RM350,000 kepada Pejabat Menteri Besar untuk diluluskan pengeluaran cek dengan nilai tersebut bagi tujuan pembinaan surau baharu di Kampung Kubu, Tanjung Malim pada 15 Mac 2017.

Permohonan sumbangan tersebut diluluskan dan dimasukkan ke akaun Bank Islam Malaysia Berhad bernombor 08068020674681 atas nama penerima JKKK Kampung Lambak, Cabang Lima dan Lubuk Salak yang mana kerja-kerja pembinaan surau baharu itu tidak dilaksanakan hingga kini.

Bagaimanapun, tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pecah amanah yang turut dibacakan hari ini di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

pMengikut pertuduhan itu, Zulkifle sebagai Pengerusi JKKK merangkap Ketua Kampung Lambak, Kampung Cabang Lima dan Kampung Lubuk Salak di daerah Muallim yang diamanahkan sumbangan berjumlah RM350,000 untuk membina surau baharu di Kampung Kubu didakwa melakukan pecah amanah.

pDia didakwa melakukan pecah amanah jenayah dengan curang mengeluarkan sebahagian wang sumbangan dengan cara transaksi pemindahan wang berjumlah RM106,000 ke akaun milik Jati Gemilang Resources bagi kegunaan sendiri.

Zulkifle bagaimanapun dilepas dan dibebaskan daripada dua lagi pertuduhan mengikut Seksyen 171A Kanun Prosedur Jenayah selepas menerima tawaran oleh pihak pendakwaan.

Pendakwaan kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Maziyah Mansor manakala tertuduh diwakili peguam Hisham Nazir.

Indra Nehru turut menetapkan pelucutan hak milik tertuduh kepada kerajaan Malaysia iaitu wang simpanan berjumlah RM203,686.45, sebuah kereta jenis Honda Civic bernilai RM33,500 dan sebuah komputer riba.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This