Bekas pemandu e-panggilan ditahan bersama dadah bernilai lebih RM6 juta

Bekas pemandu e-panggilan ditahan bersama dadah bernilai lebih RM6 juta

SHAH ALAM ,. Polis menahan seorang bekas pemandu e-panggilan bersama sejumlah 170.58 kilogram (kg) dadah bernilai RM6.14 juta di sebuah rumah sekitar Subang Jaya, pada Rabu.

Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk S Sasikala Devi berkata suspek berusia 49 tahun itu, ditahan pada jam 3 petang di rumah sewa yang dijadikan sebagai tempat simpanan dadah, dan kejayaan itu hasil risikan pihaknya selama seminggu.

“Kita mendapati suspek mempunyai satu rekod lampau berkaitan rumah judi dan lelaki itu dipercayai aktif menjalankan kegiatan pengedaran dadah di sekitar Lembah Klang sejak dua bulan lalu,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sasikala Devi berkata dadah yang dirampas itu terdiri daripada 166 bungkus plastik dengan 111 bungkusan berlabel teh cina manakala 55 bungkusan plastik lutsinar, yang kesemuanya disyaki mengandungi dadah jenis methamphetamine.

Beliau berkata, pihaknya turut menyita sebuah kereta jenis Honda City dianggarkan bernilai RM18,000.

Sasikala Devi berkata suspek itu kini direman selama tujuh hari sehingga 7 Dis ini di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau berkata hasil ujian air kencing terhadap suspek adalah negatif dan pihaknya masih menyiasat sama ada suspek tersebut terlibat dengan sindiket dadah lain.

Sementara itu, beliau turut mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan iklan kerja di media sosial yang menawarkan pendapatan lumayan, tetapi proses pengambilan dan urusan kerja dibuat tanpa berjumpa dengan majikan.

Beliau berkata ini kerana terdapat laporan yang diterima pihaknya menunjukkan ia merupakan salah satu strategi untuk merekrut pengedar dadah dengan tawaran gaji sehingga RM7,000 ke RM8,000 sebulan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This