Bekas pengarah FTC hadapi 33 pertuduhan rasuah RM1.64 juta

Bekas pengarah FTC hadapi 33 pertuduhan rasuah RM1.64 juta

KUALA LUMPUR,. Bekas Pengarah Urusan Felcra Training & Consultancy Sdn Bhd (FTC) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 33 pertuduhan menggunakan kedudukan dengan memberikan pelbagai kontrak termasuk pembekalan barangan kepada menantu dan anaknya berjumlah RM1.64 juta.

Rohaizat Ahmad, 54, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan yang dihadapinya dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-16, tertuduh didakwa menggunakan jawatan dan kedudukan sebagai Pengarah Urusan FTC untuk mendapatkan suapan bagi menantunya dengan melantik syarikat Al Maisan Enterprise milik menantunya sebagai pembekal kepada FTC antaranya peralatan elektronik, cenderahati, baju kurung, t-shirt berkolar selain pengendali program latihan kemahiran.

Bagi pertuduhan ke-17 hingga ke-33, bapa kepada enam orang anak itu didakwa menggunakan jawatan dan kedudukan tersebut untuk mendapatkan suapan bagi anaknya dengan melantik syarikat milik anaknya iaitu Hexa Tech Pride sebagai pembekal kepada FTC antaranya cenderahati korporat, telefon pintar, komputer riba, projektor, barangan elektronik dan konsultan program keusahawanan.

Kesemua pertuduhan yang melibatkan jumlah RM1.648,810.60 itu didakwa di lakukan di FTC, No 22 Jalan Rampai Niaga 4, Rampai Business Park di sini, antara 23 April 2014 hingga 29 Jun 2018.

Tertuduh didakwa melakukan kesemua kesalahan itu mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksye 24 akta sama, yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mahadi Abdul Jumaat manakala tertuduh diwakili peguam Hamidi Mohd Noh dan Aiman Abdul Rahman.

Terdahulu, Mahadi mencadangkan tertuduh diikat jamin RM150,000 bagi kesemua pertuduhan, bagaimanapun Hamidi membantah jumlah ikat jamin itu kerana terlalu tinggi.

“Anak guam saya mempunyai isteri serta enam orang anak. Dia yang memperoleh pendapatan RM8,000 hingga RM9,000 sebulan perlu menanggung empat anaknya yang masih belajar dengan dua daripadanya menuntut di luar negara,” kata Hamidi dan menambah tertuduh mempunyai penyakit darah tinggi dan kencing manis.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM80,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan iaitu tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai selain melaporkan diri di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya sekali sebulan.

Mahkamah menetapkan 10 Oktober untuk sebutan semula kes itu.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This